Perhimpunan Agung UMNO 2023 Lebih Awal, Sebelum PRN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2023 diadakan lebih awal berbanding kebiasaan, iaitu sebelum jentera parti turun padang berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan tarikh persidangan parti terbabit bermula 7 hingga 10 Jun depan.

“Untuk pengetahuan semua, mesyuarat MKT tadi telah menetapkan bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2023 bermula pada 7 sehingga 10 Jun.

“Kita laksanakan Perhimpunan Agung UMNO agak awal kerana selepas itu kita akan menjelajah ke negeri-negeri untuk proses berkempen dan menggerakkan jentera bagi PRN,” katanya.

Katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa konvensyen parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 14 Mei di WTC sebagai salah satu usaha pemantapan gabungan tersebut.

“Pada 14 Mei nanti di WTC kita akan adakan konvensyen parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan dan insya-Allah kita akan bersama parti-parti lain dalam PRN.

“Ianya sebagai salah satu usaha pemantapan Kerajaan Perpaduan. Jika kita menyatupadukan saf kepimpinan di semua peringkat, insya-Allah kerajaan akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) amat menghargai rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan menyatakan komitmen parti itu untuk terus mendukung kerajaan yang telah dibentuk.

“Kita UMNO/BN tentunya amat menghargai kerjasama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mudah-mudahan semangat yang diperlihatkan akan menjadi tulang belakang kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan. UMNO/BN akan terus komited untuk mendukung kerajaan ini,” katanya lagi.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO serta tiga Naib Presiden iaitu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani serba barisan kepimpinan UMNO yang lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.