Pendedahan Azalina Langkah Wajar ‘Pengimbang’, Bukan Campur Tangan Eksekutif – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 7 April – Pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai pelanggaran kod etika hakim membabitkan Datuk Mohd Nazlan Ghazali wajar dijadikan sebagai ‘pengimbang’ dan ianya bukan campur tangan eksekutif.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tidak ada sebab untuk mana-mana pihak berdolak-dalih daripada hasil laporan tersebut setelah ianya didedahkan.

“Apabila Menteri Undang Undang yang mendedahkan kandungan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Nazlan, maka tidak ada sebab untuk mana-mana pihak berdolak dalik

“Baik Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara, bola di kaki mereka. Mereka mesti bertanggungjawab. Rakyat sudah bosan dengan sikap membisu mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut berpendapat bahawa pendedahan Azalina tersebut adalah pendirian rasmi kerajaan dan meminta agar mana-mana pihak tidak memperlekehkan peranan badan penyiasat.

“Pendedahan Azalina adalah pendirian rasmi kerajaan. Ia mesej supaya pihak berkaitan bertindak segera. Tegakkan keadilan dan jangan bertangguh lagi.

“Jangan lagi ada dalih dan dolak-dalik oleh Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara. Jangan perlekehkan peranan badan penyiasat seperti SPRM,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut menegaskan bahawa kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini dan tidak membiarkan sistem keadilan negara dirosakkan.

“Tidakkah selama ini kes kes rasuah dan salah guna kuasa yang mereka dakwa dan adili adalah hasil siasatan SPRM? Kenapa dalam kes Hakim Nazlan ada dolak dalik pula.

“Kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini. Jangan biarkan sistem keadilan Malaysia dirosakkan. Pendedahan Azalina adalah langkah wajar sebagai ‘pengimbang’. Ia bukan campur tangan eksekutif,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan bahawa laporan berhubung pelanggaran kod etika hakim membabitkan Datuk Mohd Nazlan Ghazali sudah dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada Februari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pelanggaran itu dikenal pasti menerusi kesimpulan dikemukakan dalam laporan SPRM.

Katanya, laporan bertarikh 21 Februari lalu, mendapati Hakim Mahkamah Rayuan itu melanggari peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 dengan dokumen berkenaan turut dikemukakan kepada Tengku Maimun pada hari sama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.