MKT Mohon Ihsan Agong Pertimbang Pengampunan Penuh Buat Najib

KUALA LUMPUR, 7 April – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bermesyuarat hari ini memohon ihsan Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ianya sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“MKT telah menerima memorandum daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri yang memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden dan Perdana Menteri yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara.

“MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon mengadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong beserta dengan memorandum yang ditanda-tangani oleh seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan media selepas mesyuarat MKT UMNO, hari ini.

Beliau juga memaklumkan MKT berdukacita dan mengetahui keresahan daripada ahli-ahli UMNO di akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.

“Seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Yang Amat Arif, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut menyatakan bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan,” ujar beliau. – UMNO Online

KENYATAAN MEDIA SUA 070423

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.