Kepimpinan UMNO Rai Anak Yatim, Berbuka Puasa Bersama Hari Ini

KUALA LUMPUR, 7 April – Kepimpinan tertinggi UMNO hari ini meraikan anak-anak yatim dalam majlis berbuka puasa yang berlangsung di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

Kepimpinan tertinggi yang hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mereka bersama dalam meraikan anak yatim dan guru masing-masing dari Pusat Jagaan Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ampang; Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman, Setapak dan Pertubuhan Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Puchong.

Turut hadir ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Bendahari Agung, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina Othman serta barisan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli-ahli UMNO.

Di samping meraikan anak-anak yatim tersebut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dijadual turut menyampaikan sumbangan kepada para pelajar sempena Ramadan.

Turut sama adalah guru-guru yang dijemput pada majlis ini serta bertindak sebagai pengiring anak-anak yatim tersebut.

Kepimpinan UMNO serta jemputan menunaikan solat Maghrib dan bertarawih secara jemaah di Surau Ar-Rahman, WTC di sini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.