Kasih Puteri Ramadan: Nurul Amal Ajak Rakan-Rakan Bantu Kenalan Yang Memerlukan

KUALA LUMPUR, 7 April – Penghantaran barangan bantuan sempena Program Kasih Puteri Ramadan anjuran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dilaksana dengan pengagihan kini dijalankan di peringkat bahagian.

Sehubungan dengan, Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mengajak rakan-rakan wanita muda untuk membantu kenalan di Selangor dan Kuala Lumpur yang memerlukan bantuan dengan meninggalkan nombor telefon penerima di saluran media sosial Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

“Alhamdulilah penghantaran (barangan bantuan) ke seluruh negeri baru sahaja selesai dan sekarang berlangsung di setiap bahagian, program Kasih Puteri sempena bulan Ramadan.

“Di sini saya ingin mengajak untuk bersama-sama di bulan Ramadan jika ada kenalan, kawan ataupun yang anda kenal dan rasakan layak menerima zakat serta sedikit sumbangan sempena menyambut Syawal maka boleh hubungi kami di Facebook, Instagram dan TikTok Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

“Tinggalkan nombor telefon penerima tersebut supaya kami boleh berhubung. Penerima yang kami maksudkan mestilah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya menerusi hantaran video di TikTok.

Mengulas lanjut, Nurul Amal turut berharap agar semua amalan baik sempena bulan Ramadan ini diterima oleh Allah SWT dan mengajak semua bersama-sama mengejar pahala pada bulan mulia.

“Saya pernah berjumpa dengan hamba Allah ini pada zaman kita melalui COVID-19 dahulu, beliau mempunyai enam orang anak dan putus mata pencarian.

“Beliau berkata kepada saya, kalau di kampung mungkin beliau tidak susah sebegini kerana ramai yang membantu. Tetapi apabila berada di bandar, tiada sesiapa pun tahu beliau susah.

“Semoga amalan kita diterima oleh Allah SWT dan marilah kita bersama-sama mengejar pahala sempena bulan Ramadan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.