Serangan Masjid Al-Aqsa: Pemuda UMNO Gesa Kerajaan Hantar Bantahan Kepada OIC, PBB

KUALA LUMPUR, 6 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel di Palestin dan memohon agar pihak kerajaan segera menghantar bantahan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya negara-negara yang mempunyai hubungan dengan Israel mengkritik dan menghentikan apa jua jalinan dengan negara tersebut.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara tersebut seolah-olah sudah menjadi acara tahunan untuk rejim tersebut dan ianya tidak boleh berlaku secara berterusan.

“Dunia dikejutkan beberapa jam lepas dengan berita yang sangat dekat di hati kita, apabila polis rejim Israel telah merempuh masuk ke masjid Al-Aqsa dan memukul saudara kita tanpa berhati perut.

“Saudara kita diperlakukan seperti binatang tatkala mereka sedang beribadah. Begitu pilu hati apabila melihat saudara kita di sana diperlakukan sebegitu rupanya. Perkara ini seolah menjadi acara tahunan bagi Israel, ia tidak boleh berterusan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Selain itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat agar menaikkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti bersama mereka.

“Oleh itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekeras-kerasnya mengutuk tindakan yang kejam ini dan memohon agar pihak kerajaan segera menghantar bantahan kepada OIC dan PBB, menggesa agar negara-negara yang mempunyai hubungan dengan Israel untuk mengkritik dan menghentikan apa jua hubungan dengan negara tersebut.

“Sebagai bantahan dan protes tergadap keganasan oleh pihak Israel terhadap Palestin, sama-sama kita menaikkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti bersama mereka. Dunia tidak boleh berdiam diri, ia termasuklah kita setiap warga Malaysia,” katanya lagi.

Pagi tadi media melaporkan Polis Israel kembali bertempur dengan rakyat Palestin untuk kali kedua di Masjid Al-Aqsa, semalam, beberapa jam selepas pasukan rejim Zionis itu membuat serbuan pada awal pagi dan menahan serta mengeluarkan lebih 350 orang dari kawasan masjid berkenaan.

Konfrontasi itu yang berlaku ketika bulan mulia Ramadan dan menjelang sambutan keagamaan Yahudi, turut mencetuskan serangan saling berbalas merentasi sempadan di Gaza serta meningkatkan kebimbangan akan keganasan semakin memuncak.

Dalam insiden kedua pada malam tadi, polis Israel sekali lagi memasuki pekarangan masjid itu serta cuba mengusir jemaah dengan menembak peluru getah dan melepaskan bom tangan ‘stun’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.