Semangat Luar Biasa Kepimpinan Baharu UMNO Perlis, Konsisten Politik Khidmat Bakti – Rozabil

KUALA LUMPUR, 6 April – UMNO Perlis yang melalui fasa pembaharuan dalam kepimpinan negeri dan bahagian komited meneruskan politik khidmat bakti secara konsisten kepada rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman memaklumkan kini adalah masa bekerjasama bersama ketua-ketua bahagian bagi memastikan agenda membela nasib rakyat dilaksanakan sebaiknya sekaligus memperkasa parti.

“Saya percaya dengan pembaharuan dan penampilan muka baharu dalam kepimpinan bahagian dan negeri, bersama ketua bahagian duduk bersama dengan satu matlamat iaitu untuk mengambil kembali Perlis daripada tangan pembangkang.

“Dalam perbincangan saya bersama ketua-ketua bahagian, kami bertemu dan berbincang secara teliti dalam mesyuarat perhubungan dan insya-Allah UMNO Perlis akan buat pendekatan secara berlainan supaya kita ada ‘tagline’ yang sama seperti Terengganu iaitu ‘Gelombang Biru’ dan kami akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk menjayakan matlamat ini.

“Sudah semestinya kami bercakap berkenaan pendekatan kepada semua golongan sama ada veteran, pengundi sedia ada atau baharu kerana negeri kalah dengan 15-0 di peringkat Dewan Undangan Negeri serta 3-0 Parlimen sudah tentu sebagai orang muda kami memberikan semangat yang luar biasa untuk merampas kembali Perlis,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau meluahkan keyakinan dengan sokongan rakyat kepada UMNO yang masih teguh.

Menurut beliau ini kerana, pendekatan UMNO yang menjadikan Islam dan Melayu sebagai teras kepada perjuangan memberikan manifestasi sendiri kepada kesedaran sokongan tersebut.

“Harus diingat yang Arau ini salah satu kubu kuat UMNO dari dahulu lagi dan sebagai ketua bahagian yang baharu saya melihat kecenderungan ahli parti yang bersama masih tebal malah melihat daripada respon para perwakilan yang hadri begitu ramai di Arau, saya percaya mereka masih setia bersama parti.

“Mungkin ada sedikit kekeliruan sewaktu pilihan raya lepas memandangkan mantan ketua bahagian hanya keluar pada saat akhir dan bertanding atas tiket pembangkang tetapi ramai yang telah menyedari parti yang patut mereka bertaut dalam memperjuangkan Islam dan bangsa melayu ini adalah UMNO,” ujar beliau.

Rozabil yang turut sama membarisi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengharapkan gabungan berpengalaman dan baharu ini dalam kepimpinan tertinggi membawa signifikannya tersendiri kepada agenda memperkasa UMNO.

“Ada muka lama dan baharu dalam barisan MKT serta pengerusi perhubungan sebagai contohnya saya yang dilantik ini, sudah tentu gabungan ini dapat memberi satu dinamik yang berlainan dalam parti kerana sudah tentu orang muda atau orang baharu ini mahu contoh kepimpinan daripada pemimpin lama.

“Malah saya berharap pemimpin sedia ada dalam MKT, dapat juga mendengar suara orang baharu supaya kita mendapat satu ketetapan sebaik mungkin kepada parti.

“Saya percaya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuka seluas-luasnya ruang perbincangan dalam MKT dapat menyuarakan pandangan yang kita terima sebagai keputusan konsensus,” ujar beliau.

Untuk rekod, Perlis menyaksikan perubahan 100 peratus muka baharu sebagai ketua bahagian, selain Rozabil, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya juga menang di Kangar dan Ruzaini Rais di Padang Besar. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.