Pengukuhan Jenama Puteri UMNO, Dekati Semua Lapisan Wanita Muda Seluruh Negara – Shamellya

KUALA LUMPUR, 6 April – Pengukuhan jenama Pergerakan Puteri UMNO merupakan agenda utama bagi memastikan sayap parti ini menjadi rujukan kepada wanita muda, kata Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi.

Menegaskan perkara tersebut, beliau berkata pendekatan itu dilakukan dengan mendekati kesemua lapisan golongan wanita muda tanpa mengambil kira bandar dan luar bandar.

“Bukan hanya tergolong daripada berpelajaran tetapi mungkin juga suri rumah, usahawan dan bermacam-macam lagi portfolio mereka di luar sana jadi antara jangka masa pendek apa yang boleh dilakukan adalah hendak memperkukuhkan dahulu jenama Puteri.

“Maksudnya sebelum ini nampak  mungkin sedikit kurang menyerlah sebab sebelum ini kita mungkin sedikit lambat dalam teknologi… macam TikTok dah lama tapi kita baru nak mula.

“Jadi sekarang kita hendak perkukuhkan dahulu jenama dalam beberapa bulan untuk memperlihatkan kepada masyarakat yang kita ini wujud dan masyarakat boleh melihat kepada Puteri sekarang dalam menilai isu-isu wanita muda,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Dalam pada itu, Shamellya juga memaklumkan menerusi tempoh jangka masa panjang agenda untuk memperkasakan peranan wanita muda juga akan dilakukan untuk menjangkau keselesaan mereka sendiri.

Menurut beliau, pendekatan tersebut dilakukan dengan menggalakkan Puteri untuk lebih kehadapan dalam berkongsi aspirasi yang mahu didukung bagi membawa manfaat kepada kelompok tersebut.

Katanya ini kerana, peranan Puteri perlu diiktiraf dan mendapat tempat memandangkan komitmen mereka dalam memberikan politik khidmat bakti dapat dilihat menerusi bantuan-bantuan yang diberikan terutama ketika bencana alam.

“Macam kita nampak ramai yang takut hendak ke hadapan itu dapat dilihat, adinda Puteri kadang-kadang itu berdepan perkara ini disebabkan kekangan komitmen dan sebagainya jadi kita tidak mahu mereka ini rasa terhalang mengejar apa sahaja yang mereka mahukan

“Sedikit idea atau gerakan yang boleh saya bawa supaya orang boleh nampak bahawa Puteri ini memang ada, buat kerja, bukan sekadar nampak pink waktu Perhimpunan Agung UMNO tapi memang ada dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Terdahulu, Shamellya yang merupakan bekas personaliti televisyen dan aktivis masyarakat baru-baru ini dilantik sebagai Ketua Penerangan Puteri dalam usaha memberikan nafas baharu kepada sayap tersebut.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan daripada Universiti Teknologi MARA Puncak Alam itu juga meluahkan penghargaan dengan amanah yang diberikan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan akan melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.