Pemuda UMNO Mesti Berilmu – Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR, 6 April – Pemuda UMNO bukannya sekadar anak muda yang mesti berani tetapi juga mesti berilmu. 

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Ini kerana katanya, Pemuda UMNO harus mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya diploma dan sekiranya tidak mempunyai kelayakan tersebut maka Pemuda UMNO Malaysia akan mengusahakannya dengan mana-mana pusat pengajian tinggi.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai diploma ini kita akan minta kerjasama dengan mana-mana universiti tempatan ataupun swasta untuk dapatkan pengajian sama ada secara ‘online’, Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) ataupun secara terus dan sebab itu secara ‘merit’.

“Kita hendak dengar suara mereka ini dan suara mereka boleh dibawa ke dalam pengurusan Pemuda UMNO bahagian serta mewajibkan semua Ketua Pemuda UMNO bahagian, Ketua Pemuda UMNO Negeri dan Exco-exco minimum dari segi pendidikan mesti mempunyai diploma.

“Itulah ketetapan dan sekiranya yang mana tidak mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya diploma maka akan carikan tempat untuk mereka belajar dan mahu melihat pemimpin yang hadir ketika ini betul-betul berkualiti… dan itulah UMNO sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di sini selepas mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia yang diadakan di Menara Dato’ Onn, pada Selasa.

Dalam masa yang sama beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin turut menekan dan mewajibkan setiap bahagian melantik sekurang-kurangnya seorang lantikan exco yang berumur di bawah 25 tahun.

“Saya menekankan Pemuda UMNO mewajibkan disetiap bahagian mesti melantik sekurang-kurangnya seorang exco lantikan di bawah 25 tahun. Ini membuktikan bahawa UMNO adalah terbuka kepada orang-orang muda.

“Kali ini kita memudahkan anak-anak muda ini masuk dalam UMNO dan kita wajibkan setiap Pemuda UMNO bahagian mesti ada Ahli Jawatankuasa (AJK) lantikan yang berumur di bawah 25 tahun,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.