Majlis Ulama UMNO Seru Masyarakat Antarabangsa Hentikan Kekejaman Zionis

KUALA LUMPUR, 6 April – Majlis Ulama UMNO mengecam sekeras-kerasnya kejadian pencabulan dan jenayah kekejaman yang dilakukan oleh tentera haram Zionis ke atas pengunjung Masjid Al-Aqsa yang beriktikaf di masjid tersebut.

Sehubungan itu, Majlis Ulama UMNO menyeru kepada masyarakat antarabangsa dan umat Islam untuk menyatakan pendirian mereka dan mengecam tindakan jenayah ini.

“Tindakan jenayah ini jelas bertentangan dengan prinsip dan amalan antarabangsa berkaitan penghormatan terhadap tanah suci dan tempat mulia ibadat serta kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing apatah lagi ia berlaku pada bulan Ramadan ini.

“Jenayah kemanusiaan yang berlaku ini sudah tentu akan menyentuh emosi seluruh umat Islam yang pasti akan mencetuskan perkara-perkara yang tidak diingini.

“Kami menyeru supaya para ulama dan umat Islam terus berdoa agar umat Islam diberikan kemenangan dan hak rakyat Palestin terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu dilaporkan, tentera Israel menyerbu Dewan Solat Al-Qibli di kompleks Masjid Al-Aqsa selepas solat tarawih, melepaskan bom pegun, memukul jemaah Palestin dan menahan kira-kira 350 jemaah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.