Kes SRC: Azalina Sahkan SPRM Dapati Hakim Nazlan Langgar Kod Etika, Ada Konflik Kepentingan

PETALING JAYA, 6 April – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan bahawa Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali telah melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Beliau juga mengesahkan yang Hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini merujuk kepada surat Azalina bertarikh 20 Mac 2023 yang dihantar kepada firma guaman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu Shafee & Co, yang mewakili Najib berdasarkan salinan laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh sama yang diterima daripada agensi itu.

Beliau dimaklumkan oleh SPRM berhubung perkara itu melalui surat bertarikh 21 Februari 2023.

Dalam surat itu, Muhammad Shafee bertanya jika SPRM pada dasarnya membuat kesimpulan bahawa Hakim Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan.

“Saya boleh mengesahkan persoalan-persoalan yang dikemukakan bahawa soalan-soalan tersebut telah dijawab secara afirmatif,” kata Azalina dalam surat berkenaan seperti dilaporkan portal berita tempatan.

Azalina berkata demikian menjawab surat daripada peguambela Najib bertarikh 15 Mac 2023 yang bertanya jika SPRM menulis surat kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Hakim Nazlan berhubung pengendaliannya dalam kes SRC.

Utusan Malaysia turut menerima dan menyemak surat Azalina yang ditujukan kepada peguam Najib.

Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar surat dikatakan laporan daripada SPRM mengenai dakwaan salah laku hakim perbicaraan oleh Hakim Nazlan, beberapa hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib.

Anak perempuan Najib iaitu Nooryana Najwa antara yang membuat hantaran imej itu dengan catatan Instagram berkata: “Berani kerana benar”.

Portal berita melaporkan, surat yang tular itu didakwa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Tengku Maimun bertarikh 20 Februari menyatakan, siasatan SPRM telah menemui “isu salah laku” oleh Hakim Nazlan yang “perlu dpertimbang oleh Ketua Hakim”.

Surat itu menyatakan kesalahan didakwa di bawah Kod Etika Hakim 2009 berlaku apabila Hakim Nazlan, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi mengetuai perbicaraan Najib atas tuduhan rasuah membabitkan dana milik SRC International.

Siasatan itu timbul selepas dakwaan dibuat berhubung jumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB, dana pelaburan kerajaan yang menjadi pusat skandal kewangan membabitkan berbilion ringgit.

September lalu, Azam berkata siasatan terhadap dakwaan Hakim Nazlan melanggar Kod Etika Hakim telah selesai, namun butiran lanjut tidak didedahkan.

Pada Februari lalu, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun dilaporkan menuduh SPRM tidak mengikut protokol dalam menjalankan siasatan terhadap Hakim Mohd. Nazlan.

Beliau yang ketika ini Hakim Mahkamah Rayuan telah mensabitkan Najib pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dana milik SRC International. Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memutuskan menolak permohonan Najib bagi menyemak permohonan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengekalkan sabitan dan hukuman.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada sejak 23 Ogos tahun lalu. – utusan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.