Kes Najib: Pergerakan Pemuda UMNO Gesa Kerajaan Tubuh RCI Pastikan Keadilan Ditegakkan

KUALA LUMPUR, 6 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengambil ketetapan bagi mendesak kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, beberapa isu telah dibangkitkan sepanjang mesyuarat pertama sayap itu yang berlangsung pada Selasa.

“Ada banyak perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut. Antaranya, kita nak kemaskini sistem keahlian UMNO. Kita juga ada membangkitkan beberapa isu mengenai program-program yang akan dilaksanakan terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Tetapi perkara yang turut dibangkitkan adalah isu RCI melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan saya percaya isu tersebut kini hangat diperkatakan oleh ahli-ahli UMNO terutamanya para penyokong Bossku.

“Kita juga merasai kesedihan yang sama dan hari ini kita mengambil ketetapan untuk mendesak kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk menjalankan RCI bagi memastikan keadilan ditegakkan untuk Najib Razak,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada kali ini akan membawakan konsep berbeza seiring dengan keadaan politik yang sangat dinamik dan rapuh.

“Bagi saya, hari ini kita lihat politik sangat dinamik dan rapuh. Saya boleh katakan bahawasanya apa kita buat kali ini, kita bawa konsep lebih berbeza. Ketua Pemuda ada mengatakan bahawa kita membawa tagline ‘Pemuda Cara Kita’.

“Bagi saya ia lebih kepada natural, turun ke bawah dan kita tidak boleh membuat sebarang pengkaderan dengan mengajak serta memaksa orang bersama kita. Kita lebih kepada pendekatan tidak formal bersama dengan anak muda mendengar pendapat mereka dan mereka mahu agar segala aduan serta keluhan didengari,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebuah biro baharu diwujudkan bagi memperjuangkan nasib rakyat dengan kaedah lebih mudah.

“Disebabkan itu juga Ketua Pemuda telah mewujudkan biro aduan awam. Kita akan cuba cari jalan bagaimana untuk sampaikan dan perjuangkan nasib rakyat dengan kaedah lebih mudah.

“Ini adalah perkara yang kita akan titikberatkan sebab apa yang lebih penting hari ini adalah rakyat. Rakyat nak cari makan dan ada kemudahan asas yang baik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.