68,000 Peserta FELCRA Terima Keuntungan Boleh Agih Berjumlah RM 182. 7 Juta – TPM

JELEBU, 6 April – Seramai 68,437 peserta Felcra Berhad di seluruh negara menerima agihan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta 2022 berjumlah RM182.7 juta.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bayaran akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini sekali gus membantu meringankan beban mereka untuk menyambut ketibaan Aidilfitri.

“Kenapa kita umum di sini antara Felcra  terbesar di dalam negara adalah di Negeri Sembilan. Mudah-mudahan keuntungan ini diperoleh bukan sahaja oleh Felcra.

“Insya-Allah selepas ini tunggu (pengumuman) Risda pula,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Simpang Pertang, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata jumlah tersebut melibatkan 616 projek untung dan prestasi bayaran akhir itu dipengaruhi oleh trend harga minyak sawit mentah (MSM), kos input pertanian dan kos tenaga buruh berikutan pelarasan gaji minimum dikuatkuasakan kerajaan.

Beliau berkata jumlah agihan keuntungan tahunan projek peserta Felcra Berhad 2022 juga telah meningkat kepada RM501,556,634 berbanding RM475,207,280 pada 2021 iaitu peningkatan 5.54 peratus atau RM26,349,354.

Katanya, langkah berkenaan dapat membantu peserta melalui pelbagai program keusahawanan selain mampu memberi pendapatan sampingan lumayan kepada peserta.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada masjid dan pusat tahfiz sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang sebanyak RM86,000 dan agihan duit raya kepada pelajar tahfiz. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.