SUA Ingatkan Kepimpinan Pemuda Pegang Prinsip Perjuangan Islam Sejati

KUALA LUMPUR, 5 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan seluruh kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk sentiasa berpegang kepada prinsip dan nilai perjuangan Islam sejati.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu turut berasa bersyukur dan gembira apabila melihat barisan kepimpinan digabungkan dengan muka baharu dan lama.

“Selaku Setiausaha Agung, saya menyaksikan upacara angkat sumpah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh dan barisan exco dalam Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Bilangan 1/2023 bagi Penggal 2023-2026, semalam.

“Saya bersyukur dan gembira melihat ramai muka baharu membarisi kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO kali ini.

“Dalam ucapan ringkas saya semalam, saya ingatkan agar Pemuda UMNO mesti sentiasa berpegang kepada prinsip dan nilai perjuangan Islam sejati dalam memastikan usaha memperkasakan parti, perjuangan memartabatkan agenda rakyat terus diberkati serta dirahmati,” katanya.

Semalam UMNO Online melaporkan bahawa barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengangkat sumpah jawatan bersama-sama Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Salleh dan Naib Ketua, Mohd Hairi Mad Shah.

Lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia ini dibuat bagi sesi baharu iaitu 2023-2026, sebelum menandatangani dokumen ikrar tersebut, di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.