MITI: Tengku Zafrul Yakin Hong Kong Berpotensi Jadi Pintu Masuk Malaysia Ke China

KUALA LUMPUR, 5 April – Hong Kong berpotensi menjadi pintu masuk Malaysia ke Republik China manakala Malaysia berkebolehan menjadi pintu masuk Hong Kong ke ASEAN, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut berkata, itu adalah mesej utama beliau semasa dialog khas bersama Malaysian Chamber of Commerce Hong Kong and Macau (MAYCHAM), semalam.

“Saya percaya Hong Kong berpotensi menjadi pintu masuk Malaysia ke Republik China, manakala Malaysia berkebolehan menjadi pintu masuk Hong Kong ke ASEAN.

“Inilah mesej utama saya semasa dialog khas bersama Malaysian Chamber of Commerce Hong Kong and Macau (MAYCHAM) semalam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Tengku Zafrul, soalan dan idea seperti usaha memperkasakan Perindustrian Kecil Sederhana (PKS) dan pelbagai topik mengenai pelaburan di Malaysia amat dihargai demi memacu industri perdagangan serta pelaburan dua hala.

“Dialog dan sesi soal jawab bersama MAYCHAM berkisar kepada masa depan perdagangan antarabangsa, landskap perdagangan, pelaburan dan perniagaan di Malaysia.

“Soalan dan idea seperti usaha memperkasa PKS, kerjasama pembangunan modal insan di antara Malaysia dan Hong Kong serta pelbagai topik mengenai pelaburan di Malaysia telah ditujukan kepada saya semasa sesi soal jawab.

“Sesi sebegini amat saya hargai demi memacu industri perdagangan dan pelaburan dua hala Malaysia-Hong Kong,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menjemput pemain industri Malaysia bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Saya menjemput pemain industri Malaysia untuk membantu mempromosi dan meningkatkan perdagangan serta pelaburan dua hala.

“Marilah kita sama-sama memainkan peranan dalam memajukan ekonomi Malaysia ke arah lebih makmur dan inklusif demi #MalaysiaMadani,” katanya lagi. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.