10 Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka Diumum Esok – Ab Rauf

MELAKA, 5 April – Sebanyak 10 Timbalan Exco kerajaan negeri Melaka akan diumumkan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok.

Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelantikan Timbalan Exco akan turut membabitkan wakil daripada Pakatan Harapan (PH) sekali gus mencerminkan Kerajaan Perpaduan.

“Komposisinya (senarai Timbalan Exco) cantik, menarik dan meletakkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berperanan untuk bersama-bersama dengan Exco yang dilantik di bawah pentadbiran saya menjadi lebih mantap. Semua Exco akan ada timbalan … esok saya umumkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Mengulas tentang pelantikan Timbalan Exco kerajaan negeri sebagai satu pembaziran, Ab Rauf berkata ia terpulang dan bergantung kepada pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.

Beliau berkata pelantikan Timbalan Exco kerajaan negeri bagi 10 portfolio berkenaan di bawah pentadbirannya bersesuaian dengan keperluan sedia ada bagi mewujudkan kerjasama lebih erat bagi kedua-dua jawatan itu untuk membangunkan Melaka ke arah lebih cemerlang.

“Terserah kepada pucuk pimpinan pada waktu dan ketika itu tapi bagi saya, waktu ini saya memerlukan semua wakil rakyat untuk menunjukkan bahawa tidak ada yang tidak diberikan peranan untuk bersama saya membangunkan Melaka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata barisan Exco yang dilantik hari ini sesuai dengan portfolio yang dibentuk dan mencerminkan Kabinet kerajaan Persekutuan yang mengkombinasikan dua hingga tiga kementerian di bawah satu portfolio.

Katanya, beliau yakin gabungan Exco yang dilantik adalah mantap dan dilihat dapat menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik serta mewujudkan kebersamaan antara kepimpinan kerajaan perpaduan di Melaka.

“Kematangan politik bermula di Melaka … kita telah masuk dalam era politik baharu, satu penjanaan kuasa politik iaitu ‘political cooperation’,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.