Tengku Adnan Realitikan UMNO Tetap Bersama Rakyat, Ramadan Pererat Perpaduan

PUTRAJAYA, 4 April – Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor merealitikan Ramadan sebagai platform perkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat biarpun bukan lagi bergelar Ahli Parlimen.

Beliau yang tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu membuktikan bahawa tanpa jawatan selaku wakil rakyat sekalipun, aplikasi kebersamaan UMNO bersama masyarakat tetap diangkat.

Katanya, keindahan Ramadan perlulah diisi dengan semangat kebersamaan dan mengangkat diri untuk memperbaiki perpaduan serta ukhwah dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang masyarakat malah meraikan dengan semangat keluarga besar.

“Alhamdulillah, Ramadan tahun ini kita dapat meneruskan tradisi berbuka puasa bersama-sama dan kali ini saya meraikan komuniti setempat di rumah saya, beramah mesra, berbuka dan kemudian bersolat beramai-ramai,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang meneruskan Program Maidatul Rahman dan Nur Ramadan Putrajaya yakin bahawa semangat kebersamaan yang sentiasa diterapkan bukan hanya dalam UMNO tetapi juga masyarakat keseluruhan akan dapat menyemai perpaduan yang kukuh.

Dalam hal ini, beliau meluangkan masa saban petang dalam Program Maidatul Rahman Putrajaya yang berkonsepkan kebersamaan dalam meraikan bulan Ramadan di samping berbuka puasa beramai-ramai.

“Ini adalah inisiatif yang saya gerakkan di sini iaitu dalam satu keluarga besar Putrajaya malah gerakan ini terus dilaksana biarpun saya bukan lagi wakil rakyat di sini.

“Memang sudah menjadi amalan bagi saya dan juga dalam UMNO/BN sejak dulu lagi sentiasa bersama masyarakat, dan kali ini ditambah lagi atas semangat mengimarahkan bulan Ramadan maka kita usahakan untuk program berbuka puasa beramai-ramai tersebut dilakukan,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Terdahulu beliau turut mengedarkan serunding kepada para penduduk Putrajaya sebagaimana kebiasaan saban tahun dilaksana yang dibuat melalui penghantaran dari rumah ke rumah di sini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.