Pemuda UMNO Guna Cara Kreatif Dekati Anak Muda Di Sekolah, Universiti

KUALA LUMPUR, 4 April – Mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memaklumkan akan menggunakan pendekatan kreatif dalam mendekati golongan muda di peringkat sekolah dan universiti.

Bagaimanapun Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata langkah tersebut akan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan dan berlandaskan kepada undang-undang.

“Memang ada (perancangan masuk universiti) kerana itu di bawah pengkaderan dan latihan, bukan setakat di universiti tetapi kita akan fokus juga di sekolah sebab kita sedia maklum apabila undi 18 adik-adik yang berada di tingkatan dua pada PRU16 sudah boleh mengundi.

“Sudah pasti ini antara fokus kita tetapi hendak masuk ke universiti dan sekolah mestilah melalui prosedur yang betul.

“Jadi sebagai seorang pemimpin kita hendak masuk ke universiti dan sekolah tidak boleh langgar undang-undang, Pemuda akan masuk dengan cara kreatif tertakluk kepada biro-biro nanti kita akan bincangkan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia kali pertama yang diadakan di Menara Dato’ Onn, di sini petang tadi.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan akan menggunakan platform sedia ada iaitu menerusi UMNO Siswa dan secara terbuka dalam melibatkan Pemuda dan siswazah.

“Kita memang sudah ada UMNO Siswa sebelum ini di setiap universiti setelah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) telah dihapuskan.

“Pemuda akan memanfaatkan UMNO Siswa ini sebagai platform mendekati mereka tetapi pada masa yang sama juga pendekatan bukan secara rasmi kerana kena dengar adik-adik mahasiswa apakah suara dan hasrat mereka yang hendak perjuangkan dalam universiti,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu lagi.

Dr Akmal dalam pada itu memaklumkan bahawa Ketua Pemuda UMNO di setiap bahagian diwajibkan untuk melantik sekurang-kurang seorang ahli jawatankuasa yang berumur di bawah 25 tahun.

Menurut beliau, langkah tersebut dilakukan bagi menarik penyertaan anak muda kepada UMNO dengan lebih menyeluruh sekaligus membuktikan parti ini terbuka menerima golongan ini.

“Tumpuan adalah untuk memperkukuhkan dari segi sokongan akar umbi di bawah sebab itu kita lihat bahawa dengan PRN dan PRU16 dengan undi 18 yang mana rata-rata pengundi hampir 51 peratus adalah di bawah 40 tahun dan kebanyakkan daripada mereka ini di bawah 25 tahun juga.

“Sehubungan dengan itu kita mewajibkan semua ketua pemuda bahagian untuk membuat lantikan ajk sekurang-kurang seorang yang berumur bawah 25 tahun.

“Kita sangat menyedari bahawa dahulu hendak masuk Pemuda UMNO susah bagi mereka yang berumur 18,19 tahun tetapi kali ini kita hendak membuka ruang seluasnya kepada anak-anak muda di luar sana bahawa signal yang kita hantar hendak masuk UMNO ini mudah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.