Ramadan Bulan Terbaik Perkukuh Ukhwah, Hayati Konsep Malaysia Madani – Siti Aminah

BEAUFORT, 3 April – Penganjuran program Santunan Kasih Ramadan atau majlis keagamaan dalam usaha berkongsi dan meraih ilmu dan beramal adalah selaras dengan konsep yang dibawa Kerajaan Perpaduan iaitu Malaysia Madani.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Siti Aminah Aching berkata konsep Madani itu sendiri membawa maksud bertamadun dan program keagamaan adalah salah satu daripada cabang usaha yang perlu dimarahkan.

“Majlis seperti ini (Santunan Kasih Ramadan) merupakan antara asas untuk kita menyemai rasa kasih sayang dan memperkukuhkan ukhwah. Ini kerana jika dihayati konsep Malaysia Madani itu sendiri, ia membawa pengertian negara ini bertamadun yang dijanakan dengan perpaduan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri dua majlis Santunan Kasih Ramadan yang diadakan di Masjid Kampung Klias Kecil dan Kebatu, dekat sini kelmarin.

Menurut Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort majlis seperti ini seharusnya dimanfaatkan sebagai wadah untuk membina kekuatan perpaduan bagi untuk mengangkat martabat insaniah, ekonomi, ilmu pendidikan dan sosial.

Sehubungan itu turut mengajak umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai madsarah untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan rasa kasih sayang melalui aktiviti-aktiviti di masjid serta menganjurkan program-program kebajikan sepanjang bulan mulia ini.

“Kita akui keadaan ekonomi negara susut selepas dilanda wabak COVID-19 sebelum ini, usaha berterusan untuk membina kekuatan ekonomi negara sedang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini, manakala mereka yang terjejas terus dibantu melalui pelbagai inisiatif dan bantuan oleh kerajaan khususnya kepada golongan B40,” katanya.

Dalam pada itu juga Siti Aminah turut menjelaskan berkemungkinan beliau tidak dapat bersama dalam semua program di sepanjang bulan Ramadahan ekoran kekangan tugas di kementerian di Kuala Lumpur.

Namun begitu katanya, setiap program yang dirancang akan diteruskan dan dihadiri oleh pegawai-pegawai di pusat khidmat Parlimen Beaufort.

“Saya perlu perjelaskan sebab sudah timbul isu atau persepsi yang ditularkan di media sosial dari pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya saya senyap dalam majlis-majlis sepanjang bulan Ramadan ini yang secara kebetulan bertembung dengan program-program yang diatur lebih awal di kementerian,” jelas Siti Aminah.

Siti Aminah menambah penyelarasan jadual program sepanjang bulan Ramadan telah dibuat agar ia berlangsung lancar. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.