Majlis Angkat Sumpah Exco Dijangka Rabu Ini – Ab Rauf

MELAKA, 3 April – Majlis istiadat angkat sumpah barisan exco kerajaan negeri Melaka dijangka dilangsungkan pada Rabu ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata cadangan nama tersebut telah dibincang dan diterima oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

“Seperti yang saya janjikan saya telah melengkapkan senarai nama barisan exco dalam tempoh 48 jam.

“Senarai nama-nama yang dirundingkan telah diterima dan saya akan menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam selepas beliau pulang dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas memulakan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 dengan memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pagi ini.

Katanya urusan pengumuman secara rasmi barisan exco tersebut akan diselesaikan sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Melaka Rabu ini.

Ditanya mengenai komposisi exco daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan serta diwujudkan semula jawatan timbalan exco beliau enggan mengulas dan menyatakan hal tersebut hanya akan diumumkan kemudian.

“Apa yang boleh saya katakan portfolio adalah cantik dan menarik. Jadi kita tunggulah pada Rabu ini,” katanya.

Terdahulu Ab Rauf, 62, tiba di Seri Negeri dengan menaiki kenderaan rasmi Ketua Menteri pada 7.30 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari serta kakitangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau kemudian mengimbas kad perakam waktu pada 7.33 pagi sebelum memasuki bilik pejabatnya bagi menghadiri upacara ringkas selain sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di sini Jumaat lalu selepas Datuk Sulaiman Md Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri ke-12. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.