Perkukuh Institusi Yang Ditubuh UMNO, Fokus Bela Rakyat – SUA

GERIK, 2 April – UMNO akan terus melindungi kepentingan institusi yang telah ditubuh parti itu bagi membantu melahirkan generasi cemerlang tanpa mengenal ideologi politik, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelas beliau ini termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang memainkan peranan penting dalam membantu golongan Bumiputera melalui peluang pendidikan dan perniagaan dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka.   “Saya selalu sebutkan bahawa MARA ini adalah bayi UMNO kerana ianya ditubuhkan hasil daripada usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akhirnya mencetuskan idea untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera yang ketika itu di bawah Tun Abdul Razak dan juga Tengku Razaleigh Hamzah yang boleh menceritakan sejarah tersebut secara terperinci.

“Sebagai Setiausaha Agung UMNO sudah tentu mahu melihat institusi yang dilahirkan UMNO berjaya kerana kayu ukur kejayaan itu bukan semestinya dengan melakukan diskriminasi parti kerana polisi UMNO ialah kita menjadi kerajaan semula dan tidak pernah memilih bulu dalam konteks melakukan transformasi negara bangsa.

“…kerana yang penting tidak melihat warna parti tetapi fokus kepada potensi yang ada pada mereka untuk kita bangunkan kerana akhirnya manfaat itu kepada negara. Kita tidak berfikiran sempit untuk membantu orang dalam kalangan ahli parti sahaja seperti yang dilakukan oleh parti lain. UMNO tidak pernah melakukan sedemikian sebab itu bagi saya yang penting matlamat MARA ini harus dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti MARA Perak sambil berbuka puasa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, malam tadi.

Dr Asyraf malah pada masa sama membidas kritikan segelintir pihak berkenaan pelantikannya sebagai Pengerusi MARA sambil menambah institusi itu adalah sebuah badan berkanun.

“Ada orang kata ini lantikan politik, saya kata iya itu memang betul kerana saya mempengerusikan bukan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana ini adalah badan berkanun iaitu sebuah institusi yang dilahirkan melalui punca kuasanya Akta MARA 1966,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan kunjungannya ke Gerik pasca Pemilihan 2023/2026 ini beliau berkata perpaduan dalam kalangan ahli akar umbi semakin diperkukuh.

“Alhamdulillah tanggungjawab saya sebagai Setiausaha Agung UMNO yang diberikan mandat oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kita dapat mentautkan kembali ahli-ahli selepas pasca pemilihan.

“Paling penting fokus yang diberikan oleh Presiden adalah supaya biduk berlalu kiambang bertaut maknanya yang lepas itu lepas, menang tidak menang semua manakala kalah tidak kalah semua untuk kita bangkit seperti mana presiden katakan UMNO bangkit 2.0.

“Kita kena pastikan solidariti ahli kembali kepada cogan kata UMNO iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ itu adalah falsafah perjuangan yang kita tidak boleh lari dan dipisahkan. Itu sebab bila saya turun ke bahagian-bahagian dan negeri, insya-Allah seperti yang saya buat di peringkat Pemuda untuk pastikan kita dapat persiapkan parti bukan hanya untuk Pilihan Raya Negeri tetapi juga untuk Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.

Terdahulu, Dr Asyraf dalam siri kunjungan ke Gerik memulakan lawatannya ke MRSM Gerik untuk bersahur bersama para pelajar dan pendidik sebagai pertemuan ramah mesra beliau ke sekolah berkenaan.

Beliau juga melakukan ziarah kasih di Felda Bersia 2, Bersia Lama, Kuala Rui, Air Suda 2 bagi menyampaikan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Dr Asyraf mengakhiri kunjungan ke Gerik malam tadi dengan lawatan ke Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu untuk bermoreh bersama pasukan keselamatan, turut hadir adalah Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.