Pemimpin Perlu Berdedikasi Jalankan Amanah, Kata Awang Aslee

BEAUFORT, 2 April – Pemimpin tiga sayap UMNO Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang berjaya memenangi pemilihan parti baru-baru ini diingatkan supaya bekerja dengan penuh dedikasi dan menjalankan amanah diberi seikhlas hati.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat berkata, mandat diberi itu perlu digalas dengan niat yang ikhlas, setia dan berprinsip tanpa mengetepikan hasrat akar umbi di seluruh negara.

Menurut beliau, setiap tanggungjawab digalas pasti didatangkan bersama ujian dan cabaran yang berbeza.

“Malam ini semua yang berjaya mengangkat sumpah menzahirkan ikrar dan taat setia kepada perjuangan parti. Ikrar ini perlu dijadikan panduan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanah.

“Sebagai Ketua Bahagian, saya menzahirkan ucapan tahniah kepada mereka yang akan memimpin organisasi Wanita, Pemuda dan Puteri ini bagi meneruskan legasi perjuangan menjunjung martabat agama, bangsa dan negara,” katanya ketika menyaksikan majlis angkat sumpah dan berbuka puasa bersama Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Beaufort di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Naib Ketua UMNO bahagian Md. Rashid Haji Mathon, Ketua Wanita UMNO Juriffah Saffilie, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya dan Ketua Pergerakan Puteri Munira Sarrie.

Menurut Awang barisan kepimpinan baharu peringkat Bahagian, Wanita Pemuda dan Puteri berdepan tanggungjawab besar dalam memperkuat parti, walaupun sedang melalui senario politik yang mencabar.

“Sekiranya ujian ini dilakukan bersama, insya-Allah kita akan menghasilkan sebuah keberhasilan yang akan memberikan kelebihan bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi rakyat secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Seterusnya Awang berkata yang paling utama ialah mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan lain dan perlunya pemupukan budaya kerja berpasukan bagi memastikan segala program terutamanya dalam memperkukuhkan kekuatan parti khususnya di kawasan tersebut dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Jelas beliau, usaha ke arah literasi demokrasi dan kematangan politik terutamanya dalam golongan belia akan dilaksanakan dalam skala besar dan penuh iltizam.

“Sudah tentu tugas mencabar ini akan dikendalikan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO yang perlu mengatur segala gerak kerja dan program selari dengan tuntutan dan cabaran semasa.

“Kita kehilangan sebilangan pengundi muda semasa Pilihan Raya Umum baru-baru ini, kerana mereka dikelirukan dengan pelbagai persepsi oleh pihak lawan. Justeru kita perlu menangani persepsi negatif ini dengan pendekatan yang lebih meyakinkan untuk golongan ini,” katanya.

Tambah Awang isu belia harus diarus-perdanakan ke semua sektor pendidikan, kebajikan, sukan, peluang pekerjaan dan isu-isu yang berkaitan belia. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.