Masih Ada Ruang Perundangan Bagi Najib Mendapat Pembelaan Sewajarnya – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 2 April – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk diberi kebenaran menyemak keputusan rayuan akhir berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Ujar Menteri Besar Pahang itu, sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang, beliau akur dengan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Najib itu.

“Walaubagaimanapun, saya melihat masih ada ruang perundangan bagi membolehkan Datuk Seri Najib mendapat pembelaan sewajarnya.

“Malah, saya juga akan terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Najib walau dalam apa jua keadaan,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya, Wan Rosdy juga memohon agar semua pihak terutamanya ahli-ahli UMNO dapat bersabar dan bertenang serta teruskan berdoa semoga Allah SWT memberi kekuatan dan ketabahan kepada Najib untuk menghadapi dugaan yang besar ini.

Jumaat lalu, Najib gagal dalam usaha terakhirnya untuk mendapatkan semakan terhadap sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim mengenai semakan kehakiman kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd itu dan hakim tunggal yang bersetuju supaya permohonan semakan itu dibenarkan berpendapat:“Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil. Dia juga mesti merasakan dia diberi perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali.”

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, telah memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.