Kerajaan Negeri Melaka: Jawatan Timbalan Exco Untuk Beberapa Portfolio Akan Diwujudkan

 

KUALA LUMPUR, 2 Apr – Terdapat beberapa perubahan bukan sahaja daripada segi portfolio dan barisan exco di negeri Melaka bahkan juga akan diwujudkan jawatan timbalan exco untuk beberapa portfolio.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dikunjungi oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama senarai nama exco-exco dan portfolio untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

“Saya dikunjungi oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi mengemukakan senarai nama barisan exco kerajaan Negeri Melaka bersama portfolio-portfolio yang telah ditetapkan. Saya yakin bahawa beliau akan mempersembahkan nama-nama tersebut kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka.

“Terdapat beberapa perubahan bukan sahaja dari segi portfolio, mungkin juga akan diwujudkan jawatan timbalan exco untuk beberapa portfolio,” katanya pada satu sidang media di Majlis Santunan Kasih Ramadan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di negeri Melaka turut akan dibariskan dalam senarai exco di negeri tersebut.

“Saya ingin mengesahkan bahawa rakan-rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan di Melaka turut akan dibariskan di dalam barisan exco baharu. Ini merupakan satu optik baharu kerana ini juga menunjukkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan Pusat.

“Biarpun UMNO/Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu dan kita berada di tahap lebih dua pertiga, atas semangat Kerajaan Perpaduan kita turut kongsikan jawatan-jawatan bersama rakan-rakan lain di negeri ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa Ketua Menteri baharu yang dilantik ini akan menjalankan tugas sebaiknya demi negeri tersebut.

“Berhubung kenyataan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis, saya serahkan kepada kebijaksaan Ab Rauf dan saya yakin perkara tersebut dalam pemerhatian.

“Saya yakin, jika ada perbezaan pendapat jangan gunakan saluran luar daripada parti mahupun kerajaan negeri yang ada untuk memberikan komentar mahupun saranan.

“Saya yakin beliau akan mampu untuk melaksanakan tanggungjawab beliau sebaiknya. Kita harus berikan beliau peluang untuk buktikannya,” katanya lagi.

Jumaat lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh kira-kira pada pukul 3.33 petang.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.