Wujudkan RCI, Beri Keadilan Lebih Telus Ke Atas Najib – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 1 April – Pergerakan Pemuda UMNO memohon agar kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk memberikan keadilan yang lebih telus ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Kata Ketuanya Dr Akmal Saleh dalam satu hantaran di Facebook, cadangan tersebut diutarakan setelah mengambil kira hujah yang diberikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim mengenai semakan kehakiman kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, iaitu:

“Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil. Dia juga mesti merasakan dia diberi perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali.”

Tambah Dr Akmal, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah bermaksud menghormati keputusan.

“…dan tidak turun ke jalanan membuta tuli kerana itulah yang selalu ditekankan oleh Datuk Seri Najib ketika beliau berjumpa dengan Pemuda seluruh malaysia.

“Tetapi bukan bermaksud kami setuju dengan apa yang telah diputuskan.

“Akur itu hormat tetapi bukan bermakna bersetuju dengan apa yang diputuskan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu lagi.

Seterusnya Ketua UMNO Bahagian Jasin itu juga berdoa agar Najib sentiasa di dalam lindungan Allah SWT.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.