UMNO Johor Sokong Kepimpinan MB, Tubuh Sekretariat Dengan Kerajaan Negeri

JOHOR BAHRU, 1 April – Barisan kepimpinan UMNO Johor yang baharu hari ini menzahirkan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri yang ada dibentuk Barisan Nasional (BN) susulan kemenangan lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac, tahun lepas.

“Kerana kita mengakui kerajaan sedia ada adalah kerajaan yang dibentuk oleh UMNO dan kerajaan sedia ada juga menerima hakikat tanpa UMNO, mereka tidak ada di situ.

“Berasaskan daripada itu, parti dan kerajaan bersetuju untuk membentuk satu sekretariat bersama antara parti dan kerajaan,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan penggal 2023/2026 buat kali pertama di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata menerusi sekretariat itu, parti akan diwakili oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Abdul Halim Suleiman dan Ketua Penerangan Badan Perhubungan Datuk Md Jais Sarday.

Sementara itu, di pihak kerajaan negeri pula akan diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah.

“Mereka ini akan duduk berbincang tentang perkara yang dirasakan perlu untuk mengukuhkan kedudukan parti dan kerajaan, supaya kerajaan dapat melakukan pelbagai perkara yang boleh membawa kepada kebaikan, kesejahteraan dan kemajuan kepada rakyat dan sebagainya.

“Dalam konteks yang sama untuk kita memikirkan bagaimana kedua-dua pihak perlu mempunyai persefahaman dan pendekatan yang strategik untuk menjayakan hubungan kerana kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa (beberapa) parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan (di peringkat Persekutuan),” kata Mohamed Khaled.

Dua hari lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa penubuhan kerajaan perpaduan di Melaka tidak semestinya akan berlaku di negeri lain termasuk Johor, kerana situasi politik yang berlaku di Melaka, tidak ada kena mengena dengan situasi politik di negeri lain.

Selain itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata fokus UMNO Johor bagi penggal ini untuk bersama kepimpinan di seluruh peringkat dalam negeri bagi bersama-sama mengembalikan kepercayaan dan memulihkan keyakinan orang Melayu khususnya terhadap UMNO di Johor dan Malaysia amnya.

“Kita akan pastikan bahawa UMNO dapat bangkit dengan kita merawat UMNO semula. Kita juga telah bentuk beberapa biro bagi menggerakkan UMNO Johor untuk memastikan ia mencapai matlamatnya dan memastikan ia bergerak secara berkesan,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata UMNO Johor juga akan menyediakan jentera bagi membantu negeri-negeri yang akan berhadapan dengan PRN.

“Walaupun kita tidak ada PRN tetapi kita juga tidak boleh menyepi kerana bila PRN diadakan dulu, semua orang datang tolong kita. Jadi ini masanya untuk kita menyediakan jentera kita untuk kita bantu. Negeri mana itu (akan pergi) kita akan putuskan (kemudian),” kata beliau.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah barisan kepimpinan badan perhubungan UMNO Johor termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.