Tradisi Prihatin UMNO Diteruskan, SUA Santuni Warga MRSM Gerik

GERIK, 1 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pagi tadi berbesar hati menyantuni warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik di sini.

Beliau meluangkan masa bersahur bersama 500 orang para pelajar dan warga pendidik di samping beramah mesra sebelum menunaikan solat subuh secara berjemaah dan pengisian tazkirah.

“Pagi ini ke MRSM Gerik bagi bersahur, ramah mesra, solat Subuh dan menyampaikan tazkirah bersama-sama para pelajar. Mengimbau kembali nostalgia makan dalam tray bersama rakan-rakan ketika kehidupan asrama di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu,” katanya memetik hantaran di Facebook.

Menerusi tazkirah yang disampaikan sendiri, Dr Asyraf turut mengingatkan para pelajar mengenai hakikat dan matlamat kehidupan perlu difahami bagi mereka menanam cita-cita menjadi manusia yang berjaya dan bermanfaat kepada keluarga dan masyarakat.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut memaklumkan sudah meluluskan peruntukan infrastruktur di kawasan sekolah tersebut bagi kemudahan para pelajar.

“…yang penting kena pusatkan kehidupan untuk mencari redha Allah supaya sentiasa dalam rahmat dan barakah Allah.

“Saya juga telah meluluskan permohonan mendesak pihak MRSM Gerik yang mahu laluan pejalan kaki berbumbung dari Bangunan Akademik ke Dewan Semarak Budi bagi mengelakkan pelajar terpaksa merentasi hujan setiap kali melalui laluan utama tersebut,” ujar beliau.

Dalam siri kunjungan ke Gerik hari ini, beliau akan melakukan ziarah kasih di Felda Bersia 2, Bersia Lama, Kuala Rui, Air Suda 2 bagi menyampaikan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Pada petang Dr Asyraf dijadual akan berbuka puasa di MRSM Pengkalan Hulu bersama warga pendidik dan pelajar, di samping melaksanakan ibadah solat sunat terawih bersama mereka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.