Barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka Cerminkan Kerajaan Perpaduan – Ab Rauf

MELAKA, 1 April – Ketua Menteri Melaka yang baharu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membayangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) akan menyertai barisan Exconya nanti.

Dalam satu hantaran di laman sosial Facebook rasminya, Ab Rauf berkata beliau akan memastikan barisan Exco yang akan dibentuk adalah lebih inklusif dan mencerminkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Beliau menegaskan kerajaan baharu negeri Melaka nanti adalah sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil, sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil muafakat bersama antara parti-parti politik yang mempunyai mandat yang kuat untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka.

Dalam hantaran sama, katanya beliau akan merangka Pelan 100 Hari yang baharu untuk menjana lebih banyak pelaburan dan pekerjaan buat Melaka.

“Rakyat Melaka dahagakan pembangunan. Mereka mahu melihat kemudahan hospital, kemudahan sekolah, peluang berniaga dan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik. Melaka juga memerlukan infrastruktur, termasuk bekalan air, jalan raya dan digital, yang lebih baik,” menurut hantaran itu.

Ab Rauf, yang merupakan ADUN Tanjung Bidara, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 semalam menggantikan ADUN Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang melepaskan jawatannya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.