Umum Exco Baharu Dalam Tempoh 48 Jam – Ab Rauf

MELAKA, 31 Mac – Ketua Menteri Melaka ke-13 Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dilantik hari ini berkata beliau akan mengumumkan barisan exco yang baharu dalam tempoh 48 jam.

Katanya beliau akan merujuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu, sebelum membuat pertimbangan untuk memilih 10 orang exco.

“Secara automatik barisan exco sedia ada ini terbubar dan sama ada akan ada lantikan semula exco terdahulu, kita lihat nanti. Bergantung pada ilham tapi tak boleh lama sebab negeri nak berjalan.

“Saya juga yakin kerjasama politik yang sedang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan terbentuk di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri di sini, pada pukul 3.33 petang secara tertutup.

Dalam pada itu beliau juga berjanji untuk meneruskan semua dasar dan peraturan yang membawa manfaat kepada rakyat negeri itu, bagi memastikan bahawa tadbir urus lebih baik akan dijadikan panduan pada pentadbiran negeri ini.

Malah semua projek dan program yang telah dirancangkan di bawah kepimpinan ketua menteri terdahulu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, akan ditambah baik bagi kesejahteraan rakyat.

“Saya juga menyeru kepada semua pelaksana dan pembuat dasar terutama penjawat awam, untuk bersama-sama dengan saya meneruskan segala kerangka dasar yang baharu, bagi memberi impak yang lebih besar dalam membawa Melaka ke arah lebih gemilang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara juga berazam, agar Melaka akan menjadi negeri mesra pelabur dan perniagaan, memandangkan Melaka adalah antara pilihan utama permintaan untuk pelabur datang ke Malaysia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.