Pasca Pemilihan: Kembalikan Kualiti UMNO Demi Masa Depan, Bukan Berteras Kuantiti – Sharifah Azizah

KLUANG, 31 Mac – Pemilihan UMNO bagi sesi 2023 – 2026 telah berlangsung lancar minggu lalu dengan barisan kepimpinan telah pun dipilih berdasarkan proses pengundian yang membabitkan bahagian-bahagian UMNO dari seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menegaskan pasca-pemilihan ini adalah ruang terbaik bagi barisan kepimpinan baharu UMNO untuk mengembalikan kualiti parti dan bukan hanya bersandarkan kuantiti.

“Pemilihan UMNO dah selesai dengan jayanya, alhamdulillah. Tahniah kepada yang menang dan yang tewas tentunya memahami berkaitan proses demokrasi yang berlangsung serta menerima dengan hati yang terbuka lantas sama-sama sepakat untuk kembali padukan tenaga demi kesinambungan agama, bangsa dan negara.

“Kita sebagai orang UMNO tentunya telah menjiwai dan mendukung perjuangan parti yang pastinya menerima hakikat bahawa dalam setiap pertandingan ada yang kalah dan ada yang menang, maka kini kita semua perlu berlapang dada untuk kembalikan kekuatan parti,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang turut terlibat dalam pemilihan terbabit dengan mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang dan menjadi calon bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO mengakui bahawa pemilihan terbabit berlangsung harmoni dalam keluarga UMNO.

“Bak kata pepatah ‘biduk berlalu kiambang bertaut’ maka kini kita kembali kepada fitrah UMNO sebagai parti perjuangan yang melaksanakan khidmat bakti demi kelangsungan kehidupan dan keselesaan rakyat serta kedaulatan negara.

“Apa yang pasti, barisan kepimpinan baharu mendukung amanah untuk mengembalikan kekuatan UMNO, iaitu bekerja bersungguh-sungguh dengan khidmat yang tulus iaitu bukan menanti apabila tibanya pilihan raya atau pada waktu-waktu tertentu sahaja tetapi mengangkat tekad mempertahankan organisasi parti, memperjuangkan institusi Presiden hingga ahli-ahli parti ke akar umbi dan menolak ketepi apa-apa kepentingan peribadi.”

Ujar Sharifah Azizah, ruang dan masa yang ada sekarang ini adalah aplikasi terbaik kepada UMNO untuk merancang masa hadapan dan bergerak dalam landasan yang kukuh setelah melalui pelbagai cabaran sebelum ini.

“Dengan barisan kepimpinan yang bermula dari Cawangan, Bahagian hingga ke Pusat, meliputi Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO juga maka tentunya kita semua mahukan yang terbaik dalam mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti politik kukuh.

“Kita dah melalui pelbagai krisis politik, dah melepasi kepahitan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, dah bersidang dalam Perhimpunan Agung UMNO pada awal tahun, kemudian ada pindaan Perlembagaan UMNO dan seterusnya pemilihan maka kini masanya untuk kita mengorak langkah maju ke hadapan.

“Di depan kita tentunya lebih banyak cabaran, maka kita mesti terus bersama, kukuhkan persefahaman dan eratkan kebersamaan agar segala ujian getir sama ada dari luar atau dalam akan tetap kita hadapi, saya yakin insyaAllah kita akan berjaya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.