Ketua Menteri Letak Jawatan Sendiri, Muhamad Akmal Bidas Dakwaan Kerajaan ‘Tebuk Atap’

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Exco Pelancongan, Warisan Dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang mendakwa Melaka akan mendapat Ketua Menteri ‘pintu belakang’ di atas perletakan jawatan penyandangnya sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin itu turut menyindir Muhammad Jailani yang pernah melakukan perkara tersebut dengan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu sehingga Ketua Menteri ketika itu hilang majoriti dan jawatan.

“Untuk makluman, kerajaan ‘tebuk atap’ ataupun kerajaan ‘pintu belakang’ ini apabila Ketua Menteri dijatuhkan seperti ketika YB Jailani melompat keluar dari PH dahulu dan akhirnya Ketua Menteri ketika itu hilang majoriti serta jawatan.

“Kali ini, apabila Ketua Menteri meletakkan jawatan dengan sendirinya, maka kekosongan yang berlaku itu perlulah diisi oleh mana-mana wakil rakyat dirasakan layak oleh parti memerintah.

“Parti yang dipilih rakyat tetap menjadi kerajaan. Mungkin YB Jailani lupa kot masa YB Jailani jadi sebahagian dari kerajaan ‘tebuk atap’ dulu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, secara lantang mendakwa Melaka akan mempunyai Ketua Menteri ‘pintu belakang’ di sebalik penggantian Ketua Menteri sedia ada.

Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.

Sulaiman kemudian diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-12 pada 11 Mac 2018.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Sulaiman selaku Ketua Menteri Melaka yang Ke-13 dan parti mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Rauf sebagai Ketua Menteri yang baharu kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari dipetik sebagai berkata Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, akan dilangsungkan di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada pukul 3 petang hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.