Alma Mater… Ahmad Zahid Imbau Nostalgia Zaman Sekolah

IPOH, 31 Mac – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berbesar hati ke sekolah lama beliau iaitu Sekolah Izzudin Shah, di Ipoh, Perak.

Bersekolah di peringkat tingkatan lima pada tahun 1970, kehadiran beliau ke sini amat dinantikannya bagi mengimbau kembali zaman persekolahan.

Majlis tersebut juga sebagai medium untuk bertemu dengan rakan-rakan sekolah beliau yang pada masa kini berjaya menceburi bidang masing-masing.

“Ketahuilah saya ialah produk sekolah ini, jika ada apa-apa kekurangan, dengan keterbatasan saya akan cuba memberikan yang mampu bagi memastikan sekolah ini juga sehebat sekolah yang lain,” ujarnya ketika berucap di Majlis Santunan Kasih Ramadan di sini hari ini.

Kehadiran ke sekolah tersebut sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan, bagi berbuka puasa untuk meraikan hampir 1,500 anak-anak yatim, pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat.

Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menaik taraf sekolah itu agar setaraf dengan sekolah agama terkenal yang lain.

Selain merapatkan jalinan ukhwah, beliau turut sama menyampaikan sumbangan duit raya dan bakul makanan kepada 140 orang anak- anak yatim dah tahfiz.

Pada majlis itu juga, Ahmad Zahid turut menyampaikan Bantuan Imarah Masjid daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada dua buah masjid setempat bernilai RM6,000 sebagai tanggungjawab sosial dan bagi menampung perbelanjaaan masjid dalam mengimarahkan bulan Ramadan.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anwar Nasarah.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Perak merupakan lokasi ketujuh daripada 13 negeri bagi jelajah sempena Ramadan beliau yang bermula di Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Terengganu, Pahang dan pada semalam di Johor. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.