SUA Harap Puteri UMNO Terus Diperkasa, Sedia Depani PRN
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap agar Pergerakan Puteri UMNO akan terus diperkasa terutamanya dalam mendepani agenda parti dan bersiap siaga untuk menempuhi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah buat semua kepimpinan baharu yang dipilih untuk memimpin sayap tersebut.
“Malam tadi bergegas dari Bentong, Pahang ke Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Pertama dan Upacara Angkat Sumpah Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Sesi 2023-2026 selepas selesai menunaikan tarawih.
“Tahniah buat semua kepimpinan baharu Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang dinakhodai oleh Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, saudari Siti Sokhleha Binti Nordin.
“Semoga Puteri UMNO terus diperkasa, bersama kita rapatkan saf perjuangan dalam mendepani agenda parti dan bersiap-siaga bagi menempuhi Pilihanraya Negeri yang akan datang,” ujarnya.
Semalam, telah diadakan mesyuarat Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pertama selepas Pemilihan UMNO 2023 yang berakhir pada 18 Mac lalu.
Keputusan Pemilihan UMNO 2023 untuk Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memperlihatkan Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dipilih sebagai Ketua Puteri UMNO yang baharu menggantikan Datuk Zahida Zarik Khan.
Manakala bagi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO, Siti Sokhleha telah diberi kepercayaan bagi menggantikan Nurul Amal di jawatan tersebut.
Persidangan bagi sayap-sayap sempena Pemilihan UMNO 2023 telah diadakan pada 11 Mac lalu dan disusuli dengan pengundian para perwakilan bagi menentukan barisan kepimpinan Wanita, Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian serta pusat. – UMNO Online