Sanusi Perlu Elak Budaya Politik Berlebihan – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 30 Mac – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya mengelakkan budaya berpolitik secara berlebihan sehingga menjejaskan hubungan antara kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti dititah oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, dakwaan Sanusi yang mengatakan bahawa beliau dihalang daripada menghadiri sebarang majlis Kerajaan Persekutuan dilihat menimbulkan kontroversi murahan.

“Susulan kenyataan balas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung dakwaan Datuk Seri Sanusi yang kononnya dihalang daripada menghadiri majlis Kerajaan Persekutuan, saya ingin mendesak Datuk Seri Sanusi supaya menjelaskan kenapa beliau perlu mengeluarkan kenyataan tidak benar dan hanya akan menimbulkan kontroversi murahan.

“Beliau sepatutnya menjunjung titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah seperti dalam ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman beberapa minggu lalu.

“Dalam titah Tuanku tersebut, Baginda mengingkatkan kita semua supaya mengelakkan budaya berpolitik secara berlebihan sehingga menjejaskan hubungan antara satu sama lain khususnya antara kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok itu turut yakin bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan pernah memencilkan rakyat Kedah.

“Adalah sesuatu yang counter-productive jika Sanusi mengeluarkan kenyataan ternyata tidak benar, kemudian play victim pula yang berkemungkinan beliau mahu mendapat simpati rakyat, sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin bahawa Kerajaan Perpaduan sama sekali tidak akan memencilkan rakyat Kedah walaupun mempunyai Menteri Besar yang berjiwa kecil dan penuh dengan lakonan. Sepatutnya berpolitik juga perlu ada hadnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy turut menekankan betapa pentingnya untuk negeri Kedah memelihara hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan agar dapat menyelesaikan isu serta permasalahan rakyat.

“Adalah sangat penting untuk Negeri Kedah memelihara keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan agar fokus terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat tidak terjejas.

“Apa yang kita lihat Sanusi tidak bersungguh malah dilihat seolah langsung tidak peduli dalam usaha mahu menjaga keharmonian hubungan tersebut.

“Ini adalah suatu yang mengecewakan dan hanya akan memangsakan rakyat negeri Kedah,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan Sanusi mendakwa dihalang daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, larangan itu termasuk daripada menghadir Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA) yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.