Sama-Sama Mengorak Langkah Kuatkan Kembali UMNO – Ridzuan Hazimin

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ketua UMNO Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli penuh yakin UMNO mampu mengorak langkah dengan sebaiknya apatah lagi untuk berdepan cabaran yang mendatang.

Beliau yang diberi amanah menerajui UMNO Bahagian Temerloh pada pemilihan parti baru-baru ini berkata segala cabaran yang mendatang perlu dihadapi sebaiknya kerana tentunya ia akan ada dalam pelbagai bentuk.

“Sudah pasti dan sudah tentulah ini semua menuntut kita bukan sahaja ahli malah pimpinan pelbagai peringkat untuk sama-sama mencari kekuatan dan titik persamaan dalam usaha memastikan parti berjaya mengharungi segala cabaran.

“Sekaligus insya-Allah akan dapat memastikan UMNO terus mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat pelbagai peringkat dalam arus politik perdana di negara ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya beriltizam untuk memastikan UMMNO Temerloh yang sebelum ini diterajui Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berjaya meneruskan tradisi membela dan membantu rakyat.

Kata beliau UMNO sebuah perjuangan adalah landasan yang perlu diperkemaskan sebaiknya dan apa yang penting dan utama adalah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti hari ini.

“Insya-Allah UMNO Temerloh akan terus melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat…apa yang utama adalah untuk membantu parti mencapai kemenangan dan terus mendapat sokongan pelbagai peringkat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.