Jangan Jadi Pemimpin Bermusim, Pesan Ahmad Zahid

BENTONG, 30 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpesan kepada pemimpin parti-parti politik agar tidak menjadi pemimpin bermusim sahaja.

Kata Presiden UMNO itu, setiap pemimpin perlu membuang minda menyantuni rakyat hanya ketika musim pilihan raya atau ketika musim pemilihan parti sahaja.

“Pemimpin setiap waktu… jadilah pemimpin yang tidak bermusim. Bila ada musim pilihan raya baru nak turun… bila ada musim pemilihan parti baru nak turun. Sesungguhnya kita mesti terus membuang sikap dan minda bahawa kita adalah pemimpin bermusim.

“Kita adalah pemimpin tanpa musim demi rakyat, negeri dan negara yang kita jaga untuk makmurkan sebagaimana manifesto yang telah kita bentangkan dalam Pilihan Raya (Umum) yang lalu,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ketika berucap di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Falah Kampung Lebu di sini Rabu petang.

Hadir sama Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun, Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Puteri Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) seperti Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Mohd Razlan Rafii dan Datuk Lokman Noor Adam, serta Ahli Parlimen Bentong dari Dap Young Syefura Othman turut hadir.

Dalam ucapannya itu, Ahmad Zahid juga berkata pasukannya di dalam KKDW mempunyai prinsip bahawa jika rakyat disantuni pasti rakyat akan menyantuni kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Maka pemimpin harus turun ke bawah, membumi untuk bertemu dengan rakyat yang mendokong kerajaan sedia ada sekarang ini,” ujarnya lagi.

Begitu katanya setiap pemimpin kerajaan mesti menjalin hubungan yang erat dengan penjawat-penjawat awam.

“Hubungan yang erat ini bukan hanya diterjemahkan dalam bentuk arahan sama ada arahan di dalam mesyuarat atau pekeliling. Yang penting harus ada sentuhan kasih di antara ahli politik apatah lagi anggota pentadbiran dengan pegawai kerajaan kerana mereka semua akan melaksanakan polisi yang akan ditentukan oleh pihak kerajaan dan penentu berjaya atau gagal sesuatu polisi.

“Oleh itu pendekatan yang dibuat oleh KKDW adalah untuk menyantuni perkara-perkara atau isu-isu pada hemat kita keserasian mesti dapat diwujudkan. Apatah lagi sebuah kementerian yang tentunya menyantuni permasalahan di luar bandar, keprihatinan keperluan masyarakat luar bandar,” tambahnya.

Seterusnya Ahmad Zahid berkata KKDW menekankan selain pembangunan berbentuk fizikal, pembangunan rohani amat penting diterapkan kepada rakyat kerana kesan perimbangan antara keduanya mampu melahirkan insanul kamil.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid juga menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Risda Bantuan Imarah Masjid kepada tiga buah masjid di daerah Bentong yang bernilai RM9,000.

Selain itu, diserahkan bantuan kit peralatan dan kursus ‘Quick and Win’ KEMAS kepada 10 peserta terdiri daripada belia, beliawanis, suri rumah dan ibu tunggal B40 dalam bidang jahitan dan masakan berjumlah RM20,000. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.