UMNO Teruskan Khidmat Bakti, Perkasakan Aktiviti CSR Demi Kesejehtaraan Rakyat – Awang Aslee

BEAUFORT, 29 Mac – Tanggungjawab sosial korporat (SCR) perlu terus diperkasakan kerana peranan pentingnya dalam pembangunan masyarakat terutama untuk membantu golongan yang memerlukan di samping mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, dalam proses pemerkasaan peranan CSR ini, pengupayaan instrumen zakat, wakaf dan sumbangan kepada mereka yang amat memerlukan perlu diberikan keutamaan.

“UMNO sebagai sebuah parti terbesar dan tidak terpisah dengan tanggungjawab sosial kepada masyarakat walaupun organinasi politik, namun tidak terlepas daripada memikul tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemajuan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online ketika di hubungi di sini selepas mewakilkan Naib Ketua bahagiannya, Md Rashid Mathon; Ketua Pemuda UMNO Beaufort, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya dan Naib Ketua Wanita Beaufort, Norjana Saban menyerahkan dua set pendingan hawa kepada Masjid Nur Hidayah Kampung Klias Kecil dan dan Taska Kemas Pekan Kuala Penyu.

Menurut Awang Aslee tanggungjawab UMNO bukan sahaja memperkukuhkan organisasi parti dan kerajaan namun turut memenuhi kehendak dan memberi penambahbaikan nilai kepada masyarakat agar mereka lebih dekat kepada parti dan kerajaan.

Beliau berkata, walaupun konsep CSR ini teori daripada Barat, dari sudut lain ia dilihat selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan ciri perniagaan tidak bertujuan mencapai kejayaan material sahaja tetapi juga menekankan kepentingan kebajikan sosial masyarakat sekeliling.

“Ini dapat dibuktikan dengan tuntutan mengeluarkan zakat dan galakan mewakafkan harta. Penubuhan institusi zakat bertujuan membasmi kemiskinan dan membantu kebajikan sosial masyarakat. Begitu juga institusi wakaf yang bertujuan membangunkan sosioekonomi sesebuah negara,” katanya.

Awang Aslee menambah melalui sumbangan tersebut diharapkan masyarakat Islam di kariah masjid Nur Hidayah Kampung Klias kecil akan berasa lebih selesa untuk mengerjakan solat berjemaah terutamanya di bulan ramdahan ini

Begitu juga harapnya pelajar tadika kemas di Pekan Kuala Penyu akan lebih merasa selesa menjalani proses pembelajaran apabila keadaan bilik yang berhawa dingin dan dapat menumpukan perhatian mereka kepada pembelajaran seharian.

“Sudah tentu impak daripada aktiviti itu dapat dimanfaatkan bersama bagi mencapai kesejahteraan masyarakat. Ia juga dapat memperbaiki taraf kehidupan rakyat dan pada masa yang sama menyumbang kepada nilai-nilai persaudaraan serta memperkukuhkan semangat silatulrahim antara kepimpinan parti dan masyarakat luar,” tambah Awang Aslee lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.