Pemilihan 2023 Strategi Terbaik UMNO Kembali Kukuh, Raih Kekuatan Baharu

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Mahasiswa UMNO Malaysia percaya bahawa Pemilihan UMNO bagi sesi 2023 adalah strategi terbaik untuk parti meraih kekuatan di samping mengembalikan maruah dalam membawa perjuangannya.

Presidennya, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata perkara itu penting untuk dicapai terutama selepas UMNO menghadapi pelbagai kemelut dalam situasi politik yang mencabar.

“18 Mac 2023 akan menjadi tarikh terpenting untuk UMNO bertumbuh dan mengembalikan maruah. Setelah tewas dua kali pilihan raya lepas, UMNO hari ini akan menyaksikan beberapa perubahan dalaman dan kepemimpinan.

“Bahkan ini adalah titik awal parti pasca-dua kekalahan dalam medan tempur untuk mengusung kembali maruah UMNO.

“Oleh demikian, pemilihan kepimpinan hasil daripada Pemilihan 2023 ini bukan sekadar pengundian, bahkan adalah titik awal parti pasca dua kekalahan dalam medan tempur untuk mengangkat kembali maruah UMNO. Saya percaya, proses mengembalikan maruah dan idealisme UMNO sedang berjalan. Kita tidak boleh biarkan parti keramat ini terus terperosok,” katanya.

Beliau dalam pada itu meluahkan keyakinan bahawa pemilihan kali ini juga memberikan nafas baharu kepada UMNO melalui kepimpinan muka baharu dalam parti.

“Jika sebelum ini, UMNO dianggap jelek oleh kebanyakan rakyat. Tentunya pada pemilihan kali ini, dengan beberapa penampilan ‘fresh leg’ sudah pasti dapat menampilkan aksi yang berbeza daripada biasa.

“Anggapan bahawa UMNO sudah lesu, sedikit kurang tepat. Kali ini nampaknya ramai pemimpin-pemimpin akar umbi UMNO yang menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab terhadap amanah parti.

“Suatu signal, UMNO masih bernyawa dan sedia berkhidmat untuk anak bangsa mengikut ‘air tangan’ pemimpin baharu. Tanpa Islam Melayu punah… tanpa UMNO melayu rebah,” ujar beliau.

Terdahulu, Mesyuarat UMNO Bahagian yang turut menyaksikan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah berlangsung serentak di seluruh negara pada 18 Mac lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.