Norsabrina Gesa Kerajaan Kedah Laksana Pelan Sistematik Demi Pelaburan Berimpak Tinggi

ALOR SETAR, 29 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor menggesa Kerajaan Negeri Kedah untuk melaksanakan pemilihan pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi dengan lebih tepat selari dengan kesinambungan pimpinan terdahulu yang telah mencorakkan negeri terbabit.

Katanya, Kulim Hitech Park (KHTP) yang bermula pada tahun 1996 dan kini sepatutnya memasuki fasa kelima pembangunan hasil idealisme dan pelan tindakan sistematik bermula pimpinan terdahulu perlulah terus dijaga, dikawal dan perhalusi kualitinya.

“Kita tidak mahu segala usaha yang telah dilaksana untuk kemajuan negeri dan keutamaan kepada rakyat akan memberi kesan jangka panjang yang merugikan rakyat Kedah khususnya, kerajaan persekutuan amnya.

“Garis panduan syarikat pelabur harus diikuti bagi memastikan kualiti dan bukan kuantiti sahaja. Saya yakin Kerajaan Negeri juga sedar sekiranya pelabur yang tidak berkualiti dan tidak mengikut spesifikasi dilantik maka ia akan memberi kesan negatif bagi jangka masa pendek mahupun panjang,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian ekoran rasa tanggungjawab dan cenderung mengambil berat berkaitan pembangunan serta kemajuan para penduduk khususnya membabitkan perindustrian negeri mahukan kemajuan pembangunan agar dilaksana dengan bijak dan terancang.

“Pemetaan semula dan penyusunan lebih sistematik berhubung sektor pelaburan harus ditumpukan. Misalnya Kedah Rubber City (KRC) jadi biarlah industri terkait dengan sektor getah atau industri hiliran berasaskan getah yang terlibat.”

Dalam hal ini, beliau menyorot pelbagai cadangan yang sudah beberapa kali diutarakan demi kepentingan rakyat agar prospek Kedah dalam sektor ekonomi digilap dengan tidak bersandar pada hasil bumi dan pendapatan tradisi semata-mata.

“Sebelum ini menerusi Kedah Development Action Plan, selama 11 tahun lanskap Kedah berubah dengan pembangunan industri, sektor pembuatan, perkilangan, mercu tanda pelbagai dari utara hingga selatan Kedah dan menampakkan visibiliti kepada peluang kerja rakyat, kemakmuran ekonomi, sumbangan peratusan KDNK negeri dan penurunan angka kemiskinan selain anjakan mobiliti sosial rakyat, maka kerajaan kini juga perlu ada iltizam yang sama.

“Tidak ketinggalan jika ditinjau ‘social and economy growth’ menerusi Plan Kedah Maju 2010, 14 teras projek berjaya dimaterialisekan dan ada keberhasilannya maka apa kurangnya kerajaan kini dengan Plan Pembangunan Kedah 2035.

“Perancangan sudah ada, pemetaan dan garis panduan ini juga jelas mengikut daerah dan keutamaan, namun prioritinya adalah bagaimana Kerajaan Negeri Kedah akan dapat mewujudkan pemangkin kemajuan kepada seluruh rakyat,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa kecekapan kepimpinan dengan kerjasama semua pihak dalam menzahirkan usaha amat penting. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.