Mohd Rafi Angkat UMNO Wadah Suarakan Keresahan Penduduk, Masalah Air Perlu Segera Selesai

LABUAN, 29 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan mengangkat UMNO sebagai wadah utama bagi menjadi suara rakyat yang selama ini tertekan ekoran masalah yang membelenggu sebagaimana isu air di Pulau Labuan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berharap agar Kerajaan Pusat akan melihat isu tersebut sebagai hal utama yang perlu diselesaikan memandangkan permasalahan air di Labuan telah berlarutan sejak sekian lama.

“Saya memohon kepada Kerajaan Pusat untuk melihat secara serius permasalahan air di pulau ini yang sudah berlarutan sejak sekian lama. Masalah paip yang sudah usang yang perlu diganti dan masalah pum yang selaku rosak menjadi antara punca utama ketiadaan air di Labuan.

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa dalam hal ini tetapi saya amat-amat mengharapkan kerajaan dan pegawai kerajaan berwajib tolong bantu dan selesaikan dengan kadar segera.

“Pihak berwajib perlu menyediakan kertas kerja tindakan jangka panjang dan jangka pendek untuk menyelesaikan permasalahan ketiadaan air di Labuan ini bagi memastikan rakyat Labuan tidak menderita seperti yang berlaku sejak beberapa hari ini,” katanya.

Dalam hal ini beliau melahirkan rasa sedih dan amat kecewa dengan masalah yang berlarutan apatah lagi air adalah keperluan asas dalam kehidupan.

“Ini adalah keutamaan tambahan pula sekarang ini sudah masuk bulan Ramadan dan umat Islam semua sedang berpuasa.

“Selaku Ketua UMNO Labuan yang baharu, saya akan membantu menyuarakan dan mencari jalan untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

“Untuk jangka masa pendek saya telah arahkan Pergerakan Pemuda UMNO Labuan untuk menghantar air ke kampung-kampung bagi memastikan warga Labuan di kawasan terjejas mempunyai air untuk keperluan bagi penyediaan makanan, minuman dan sebagainya.”

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada sukarelawan dan anggota jentera Pemuda UMNO Labuan serta Team Skuad Khidmat Bakti Pemuda UMNO Labuan yang bekerja keras sejak membantu rakyat.

Mohd Rafi diangkat menjadi Ketua UMNO Bahagian Labuan yang baharu tanpa sebarang pertandingan dalam Pemilihan UMNO Sesi 2023/2026 dan kemudiannya menyertai barisan kepimpinan MKT selepas memenanginya dalam proses pengundian membabitkan seramai 95 orang yang bertanding dengan 187 bahagian di seluruh negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.