Ahmad Said Hargai Kepercayaan Presiden UMNO, Tekad Teruskan Perancangan Demi Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Said bertekad untuk meneruskan perancangan dan hala tuju yang telah dirangka setelah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan diberikan.

“Alhamdulillah. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana melantik dan memberikan kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi KETENGAH.

“Insya-Allah, akan saya teruskan perancangan dan hala tuju yang telah dirangka serta boleh memberi manfaat masyarakat dalam wilayah KETENGAH dan Terengganu secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, KETENGAH berpotensi dibangunkan menjadi hub pengeluaran makanan dan pelancongan serta turut berdoa agar semua perancangan dipermudahkan.

“Semalam Timbalan Perdana Menteri menyatakan KETENGAH berpotensi dibangunkan menjadi hub pengeluaran makanan dan hub pelancongan di Terengganu, selain melahirkan lebih ramai usahawan baharu dalam kalangan rakyat dari kawasan luar bandar yang mampu meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat.

“Mudah-mudahan segala apa yang dirancang akan dipermudahkan oleh Allah SWT amin,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Said dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berkuat kuasa serta-merta semalam.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir, Terengganu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya percaya Ahmad Zahid dapat membantu merancakkan lagi pembangunan di kawasan Ketengah yang meliputi tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.