Wan Rosdy Lancar Bantuan Prihatin Pahang Tahun 1, Beri Manfaat Kepada 25,146 Penerima

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah merasmikan Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang Kluster Tahun 1 untuk tahun 2023 di Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, Kuantan, semalam.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy berkata, semua murid-murid tahun 1 seluruh Pahang akan menerima bantuan RM100 dengan jumlah peruntukan keseluruhan bernilai RM2.514 juta.

“Saya telah merasmikan Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang Kluster Tahun 1 untuk tahun 2023 di Sekolah Kebangsaan Mat Kilau Kuantan.

“Menerusi bantuan ini, murid-murid Tahun 1 di seluruh Pahang akan menerima bantuan kewangan secara one-off RM100 melibatkan 25,146 orang penerima dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM2.514 juta,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang itu turut berharap agar pemberian bantuan ini dapat meringankan beban terutamanya dalam membeli barangan keperluan persekolahan.

“Pengagihan bantuan ini akan bermula pada hari ini sehingga 7 April 2023 di seluruh 540 buah sekolah rendah seluruh Pahang.

“Saya berharap menerusi pemberian bantuan ini adalah untuk membantu murid Tahun 1 bagi membeli barangan keperluan persekolahan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.