‘Political Will’ Dari Akar Umbi Untuk Perkukuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia – Khairul Azwan

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata sebuah iltizam serta usaha perlu digarap bagi terus memperkukuhkan kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden, seterusnya membantu Perdana Menteri mengemudi Kerajaan Perpaduan ke arah mencapai suatu tahap kedudukan ekonomi yang lebih stabil dan mampan.

Jelasnya, Kerajaan perlu didukungi oleh sebuah ‘Political Will’ atau kehendak politik yang datang dari pemimpin-pemimpin parti. Kerana rakyat memerlukan pasukan pemimpin politik yang mampu memberi nilai tambah kepada kehidupan mereka.

“Ahmad Zahid berjaya mengemudi UMNO melepasi proses pemilihan parti secara demokratik dan penuh tertib.

“UMNO kini punyai lapisan kepimpinan yang baharu di peringkat pusat dan bahagian setelah para perwakilan bahagian melunaskan tanggungjawab untuk memilih pemimpin-pemimpin yang diyakini mampu meneruskan tugas memperkukuhkan parti dan memastikan politik khidmat bakti dapat berjalan demi kesejahteraan rakyat.

“Negara sedang melalui tempoh pemulihan ekonomi dengan pelbagai cabaran domestik dan global, yang perlu ditangani oleh kerajaan serta rakyat secara berhemah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam konteks ini, Khairul Azwan menjelaskan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan pendidikan, serta punyai pendedahan dalam aspek tadbir urus dan tatakelola, sudah pasti mampu menyumbang buah fikiran dan usaha ke arah kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

”Dasar fiskal termasuk yang menyentuh soal pendapatan negara melalui kaedah pencukaian yang lebih lestari seperti GST, serta kaedah pemberian subsidi bersasar yang lebih adil perlu diberi keutamaan.

“Peranan dan sokongan pemimpin politik untuk bersama kerajaan bagi menjayakan dasar-dasar ini adalah penting,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.