Pengukuhan Dan Keharmonian UMNO Penting, Demi Kestabilan Kerajaan Hari ini – Shahaniza

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berpandangan pengukuhan dan keharmonian dalam kalangan ahli parti merupakan elemen penting yang perlu dijaga.

Katanya ini kerana, sebagai parti yang turut bersama mendukung Kerajaan Perpaduan, UMNO memainkan peranan tersendiri bagi memastikan keutuhan kerajaan pada hari ini terus terpelihara.

“Apa-apa sahaja dasar atau polisi parti kalau tidak mendapat sokongan daripada kepimpinan akar umbi sudah pasti ianya akan menyukarkan perjalanan kerajaan yang kita berada di dalamnya.

“Contohnya kalau parti kita bergolak, atau tidak kuat, mempunyai masalah namun pada masa sama kita juga menjadi parti sebahagian daripada kerajaan.

“Ianya sudah tentu secara automatik menjadikan kerajaan tidak stabil kerana mempunyai masalah jadi macam mana menyumbang kepada sebuah kerajaan yang kuat jika masalah dalam kita tidak selesai,” katanya kepada UMNO Online.

Shahaniza yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran juga berharap kepimpinan baharu yang dipilih akar umbi dapat bekerjasama dengan Presiden dan Timbalan bagi memastikan aspirasi dirangka parti dapat direalisasikan sebaiknya.

“Keputusan pemilihan ini pada saya amat melegakan kerana kita tengok yang dipilih adalah mempunyai pelbagai latar belakang dan pastinya akan dapat menjadi satu pasukan yang terbaik untuk membantu Presiden dan Timbalan.

“Jadi pada hari ini saya melihat proses pemilihan parti serba sedikit banyak menyelesaikan beberapa masalah yang ada sebelum ini.

“Selepas pengumuman pengerusi perhubungan, lantikan MKT ini saya nampak masing-masing looking forward atau hendak melihat UMNO yang lebih kuat dan stabil,” ujar beliau.

Tambah beliau, pemilihan ini juga membuktikan bahawa UMNO sentiasa mendukung asas demokrasi kerana ramai dalam kalangan pemimpin baharu turut sama mendapat kepercayaan memegang tampok kepimpinan bahagian.

Jelas Shahaniza, gabungan di antara pemimpin berpengalaman dan baharu amat penting dimanfaatkan sebaiknya kerana ianya membuktikan keterbukaan parti dalam menggembleng idea demi kepentingan masa hadapan UMNO.

“Kita tengok banyak muka-muka baharu yang dipilih menjadi ketua bahagian, ada juga yang buat comeback iaitu muka lama jadi ketua bahagian semula.

“… tapi bagi saya ia menandakan bahawa proses demokrasi dalam UMNO terus subur dan para perwakilan memilih yang terbaik dalam kalangan terbaik.

“Gabungan muka lama dan muka baharu ini satu gabungan yang terbaik, yang lama ini sudah ada pengalaman manakala muka baharu membawa wajah segar atau peremajaan parti itu sendiri.

“… ianya pasti memberi keyakinan kepada rakyat di luar sana dalam kita menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16 yang akan datang sebab fokus kita hendak memberi keyakinan kepada rakyat jadi kita hendak rakyat melihat bahawa UMNO ketika ini terdiri daripada barisan kepimpinan yang berpengalaman dan mempunyai idea-idea yang baik,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.