Empat Ahmad Bersama Imarah Ramadan Di Terengganu

KUALA NERUS, 28 Mac – Majlis Santunan Kasih Ramadan di perkarangan Masjid Al-Ansar Kem Sri Pantai, di sini tampil keunikan sendiri apabila empat individu yang bernama Ahmad duduk semeja bersama berbuka puasa.

Berlainan fahaman dan pegangan politik tidak membataskan pemimpin-pemimpin parti politik itu mengimarahkan bulan Ramadan.

Ahmad yang dimaksudkan ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ahmad Said yang juga mantan Menteri Besar Terengganu.

Begitu juga kehadiran seorang lagi bekas menteri besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad keempat adalah menteri besar sekarang dari Pas iaitu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Majlis Santunan Kasih Ramadan yang disempurnakan oleh Ahmad Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh, Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata majlis berbuka yang dianjurkannya bukanlah untuk keuntungan politik tetapi ia sudah menjadi kelaziman baginya sejak dahulu lagi ketika berada di dalam kerajaan.

Begitu juga katanya di dalam majlis yang dihadiri lebih dua ribu masyarakat dari pelbagai latar belakang fahaman itu cukup besar maknanya bagi pihak kerajaan pusat kerana ia menepati ciri-ciri membina Malaysia Madani.

Sebelum berbuka Ahmad Zahid menyempurnakan majlis penyerahan ‘mock cheque quick win’ KEMAS dan kepada pusat anak-anak yatim.

Selain itu, Ahmad Zahid juga memberi sumbangan keperluan menyambut Aidilfitri kepada anak-anak yatim yang hadir. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.