Aplikasi Ramadan Pererat Kembali Silaturrahim, Rapatkan Ukhwah Dalam UMNO – Musliati

KOTA KINABALU, 28 Mac – Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 yang berakhir 18 Mac lalu telah membariskan kepimpinan bagi membantu Presiden dan Timbalannya untuk kembali memperteguh parti.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Musliati Moslimin menganggap pasca-pemilihan ini yang juga bulan Ramadan adalah ruang terbaik bagi mengembalikan ukhwah silaturrahim dalam parti.

“Yang menang bukan menang semua dan yang kalah tidak kalah semua, maka kita ahli-ahli UMNO dari pelbagai peringkat perlulah sama-sama rapatkan semula ukhwah demi perjuangan yang belum selesai,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang turut bertanding bagi mengisi jawatankuasa Wanita UMNO Malaysia amat berbesar hati apabila diundi untuk sama-sama membarisi kepimpinan parti dalam menyemarakkan perjuangan.

“Sesungguhnya pencalonan dan penglibatan anggota UMNO dalam pemilihan ini memberikan landskap politik yang amat bermakna kepada parti.

“Ini kerana terbukti bahawa UMNO memiliki sokongan malah ramai yang menawarkan mahu menyumbang khidmat bakti dan berjuang di barisan hadapan sebagai pemimpin untuk mengembalikan parti ini sebagai teraju utama kepimpinan negara.

“Apatah lagi proses pengundian dan pemilihan berlangsung lancar yang membabitkan sekitar 160,000 perwakilan malah inilah sokongan yang perlu diterjemah sebagai gerak kerja berterusan kepada UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Sehubungan itu beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan yang terdiri daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ahli jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri serta bahagian-bahagian dari seluruh negara.

“Penglibatan semua pihak amat bermakna yang menunjukkan bahawa demokrasi dalam UMNO sentiasa dipelihara malah diangkat sebagi keutamaan dalam mempertahankan organisasi Presiden dan Perlembagaan UMNO.

“Sekarang adalah masa erbaik untuk kita bersatu padu berganding bahu, dalam kita imarahkan Ramadan maka kita pererat silaturrahim, junjung syiar agama dan angkat perjuangan bangsa, insya-Allah parti kita akan kembali kuat dan kukuh,” katanya lagi.

Terdahulu, pemilihan sayap UMNO telah berlangsung pada 11 Mac ketika Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian, yang diadakan serentak di seluruh negara.

Pada tarikh berkenaan, turut diadakan Pemilihan EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO berakhir pada 18 Mac dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.