UMNO Labuan Budayakan Semangat Kerja, Aplikasi Ramadan Bantu Golongan Asnaf – Mohd Rafi

LABUAN, 27 Mac – Sempena bulan Ramadan tahun ini UMNO Bahagian Labuan menganjurkan program Ziarah Ramadan melibatkan kepimpinan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO termasuk cawangan-cawangan yang berkolaborasi melaksanakan program turun padang ini.

Ketuanya, Datuk Mohd Raffi Alli Hassan berkata untuk tahun ini UMNO bahagian Labuan mensasarkan lebih 500 keluarga dari golongan asnaf yang akan disantuni dengan penyampaian sumbangan berupa kewangan dan juga keperluan makanan.

“Kita akan jadikan program ini sebagai acara tahunan yang ianya telah dilaksana sebelum ini ketika saya menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dari 2008 dan akan diteruskan penganjurannya termasuklah pada masa akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pendekatan tahun ini lebih menarik kerana ianya tidak melibakan kepimpinan bahagian sahaja tetapi turut disertai tiga sayap utama UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri di samping penglibatan cawangan-cawangan UMNO bahagian bagi memastikan segala bentuk bantuan dan sumbangan menepati sasaran.

“Lagi pun konsep ini memberikan gambaran kita membudayakan semangat kerja berpasukan yang dituntut oleh kepimpinan parti agar jalinan kerja sama terus diperkukuhkan antara kepimpinan bahagian dan kepimpinan akar umbi malah ianya boleh menyampaikan masej UMNO itu bersatu dalam segala bentuk tindakan,” katanya.

Terdahulu Mohd Rafi memaklumkan bahawa Pergerakan Puteri bersama Wanita UMNO Labuan juga turut menyampaikan bantuan 480 botol minuman kepada pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang mengalami gangguan bekalan air di kolej kediaman mereka.

Maklumnya, bantuan botol minuman tersebut diserahkan oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian, Niswati Tarji dan Ketua Puteri UMNO, Normaiti Jumat kepada pengarah KML, Mohd Mahyiddin Mohd Noordin.

Sebelum itu Pergerakan Pemuda UMNO Labuan diketuai oleh Saiffil Pungot bersama Skuad Khidmat Bakti Pemuda UMNO Labuan telah bertungkus-lumus menghantar bantuan bekalan air ke rumah-rumah menggunakan beberapa buah lori bagi membantu penduduk yang terjejas ekoran beberapa hari terputus bekalan air di pulau bebas cukai berkenaan. Bagaimanapun dilaporkan keadan bekalan air beransur-ansur pulih sejak semalam.

Dalam pada itu Mohd Rafi turut meminta kerajaan agar berindak segara menyelesaikan isu bekalan air di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sebagai pemimpin di pulau ini, saya mewakili rakyat amat berharap agar permasalahan ini dilihat secara serius apatah lagi isu bekalan air bersih ke Labuan sudah berlarutan sejak sekian lama.”

Katanya kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada pengantian paip-paip lama yang sering berlaku kebocoran selain menganti pam lama yang sering mengalami kerosakan iaitu menjadi penyebab bekalan air bersih di Labuan sering terjejas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.