Pemilihan UMNO Bukti Akar Umbi Mahu Strategi Lebih Realistik, Depani Pengundi Muda – Nazif

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua UMNO Bahagian Langkawi yang baharu, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berpandangan Pemilihan UMNO 2023/2026 membuktikan bahawa akar umbi parti terbuka dalam mendukung pembaharuan bagi parti keramat ini.

Jelas beliau, pemikiran tersebut wajar dimanfaatkan sebaiknya sebagai strategi parti bagi mendepani pilihan raya kelak yang menyaksikan penambahan pengundi baru.

“Hampir 30 peratus atau lebih tepat 54 orang muka baharu yang terpilih sebagai Ketua UMNO Bahagian menunjukkan bahawa akar umbi yang menjadi tulang belakang UMNO ini mahukan perubahan dan idea idea yang lebih realistik.

“… ianya bagi menghadapi beberapa isu baru terutamanya peningkatan pengundi muda yang ketika ini secara tidak langsung mampu menjadi api dalam sekam untuk melemahkan UMNO itu sendiri.

“Memberi nafas baharu, itulah yang UMNO perlukan, dan demokrasi pemilihan membuka ruang yang lebih menjanjikan harapan masa depan buat UMNO,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau dalam pada itu turut meluahkan kesyukuran kerana peringkat tertinggi parti juga menyasikan gandingan di antara pemimpin berpengalaman dan baharu.

“Gandingan muka baharu dan lama yang berada dalam saf kepimpinan tertingi parti, melambangkan pembaharuan untuk menghadapi Pilihan raya akan datang ini sambil meladani teras teras lama yang masih releven buat UMNO, khusus buat rakyat diluar sana.

Untuk rekod, anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi dalam pemilihan parti selepas mendapat 246 undi menewaskan pencabarnya Nor Saidi Nanyan yang memperoleh 234 undi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.