Jalinan Kerajaan Perpaduan, UMNO/BN Sedia Hulur Bantuan Persahabatan Pada PRN Kelak

TASIK GELUGOR, 27 Mac – UMNO/Barisan Nasional (BN) sedia untuk menghulurkan bantuan persahabatan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh masa terdekat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jalinan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan ini amat penting untuk mewujudkan keserasian bagi meneruskan kerjasama sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Alhamdulilah, setiap hari saya dan rakan-rakan akan menjelajah negeri-negeri bagi mengadakan majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar, Setiausaha Negeri, Pegawai-Pegawai dari Jabatan atau Agensi Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah serta ahli-ahli politik dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jalinan ini penting untuk mewujudkan keserasian di antara penjawat-penjawat awam dan ahli-ahli politik. Bukan mudah untuk menjalin eratkan hubungan tersebut kerana ianya bukan wujud atas hanya arahan bahkan diterima dalam suasana kerja positif, bahkan majlis-majlis tidak formal,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan yang dianjurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut beranggapan bahawa rakyat harus menyantuni kepelbagaian agama serta bangsa yang wujud di negara ini.

“Negara majmuk seperti Malaysia ini kita harus menyantuni kepelbagaian agama yang wujud. Meskipun di peringkat kerajaan negeri tidak dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan, apabila politik di peringkat nasional berubah maka ianya turut wujud di sini.

“Jika berlaku PRN maka UMNO/BN akan menawarkan huluran persahabatan dengan kerajaan Pulau Pinang. Jalinan sedia ada antara Pengerusi Perhubungan, Datuk Musa Sheikh Fadzir dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow saya harap ianya dapat diteruskan untuk sekurang-kurangnya lima tahun akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berpendapat, masyarakat Madani yang mahu diwujudkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah sekadar slogan dan perlu diterjemahkan bagi mengeratkan hubungan sesama kaum.

“Jika keserasian ini dapat terjalin, selepas ini kita ketepikan perbezaan warna dan harus melihat bahawa penyatuan, pembangunan rakyat lebih penting sebagai manifestasi kepada keamanan.

“Masyarakat Madani yang mahu diwujudkan Perdana Menteri bukan hanya sekadar slogan. Perdana Menteri datang dan pergi, slogan ini bukan sebarang slogan dan perlu diterjemahkan dari segi agama, budaya dan bahasa untuk menjalin eratkan hubungan sesama kita.

“Ramadan tahun ini sudah tentunya kita telah melalui pelbagai pengalaman yang sudah semestinya menunjukkan kita menghargai rakan-rakan bukan Islam. Semangat ini harus kita terjemahkan, Insya-Allah keharmonian dapat dijalinkan. Inilah masanya untuk kita buang yang keruh, ambil yang jernih,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.