UMNO Perlu Dilihat Parti Yang Aktif Bantu Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO perlu dilihat sebagai sebuah parti politik yang aktif dalam memberi khidmat bakti.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Pontian yang juga Timbalan Menteri Kewangan itu, semua pihak dalam parti perlu mendekati rakyat pelbagai kaum di kawasan masing-masing.

“Saya tegaskan bahawa perlu UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang aktif adakan pelbagai aktiviti sama ada oleh biro-biro atau Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Dekati rakyat pelbagai kaum di kawasan,” ciapnya di Twitter.

Selain itu, Ahmad juga mengingatkan semua pendukung parti agar sentiasa berjuang dan berharap ahli jawatankuasanya menjadi pasukan yang terbaik.

Semalam, Ahmad mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Pontian kali pertama.

Untuk rekod, pada 18 Mac lalu, Ahmad memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian setelah menewaskan penyandang Datuk Hasni Mohammad.

Manakala Timbalan Ketua UMNO bahagian dimenangi Datuk Mohd Somali Reduan, yang juga Setiausaha Kerja UMNO Malaysia. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.